[PERSPEKTIF] SIKAP PANAS BARAN WILSHERE MEMBIMBANGKAN ARSENAL

Kepulangan pemain muda sensasi Arsenal, Jack Wilshere selepas berehat panjang kerana mengalami kecederaan buku lali dan lutut sangat dinanti-nantikan oleh pengurus Arsenal dan rakan-rakan sepasukan serta tidak terkecuali penyokong setia The Gunners. Namun, sikap panas baran dan asakan-asakan keras terhadap pemain-pemain lawan sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan rakan-rakan sepasukan dan penyokong Arsenal.

Insiden layangan kad kuning kedua kepada Wilshere dalam aksi menentang Manchester United menyaksikan Arsenal terpaksa bermain 10 selama lebih 20 minit baki perlawanan. Begitu juga ketika perlawanan menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu lalu menyaksikan Wilshere membalas provokasi terhadap Gareth Bale susulan protesnya terhadap kekasaran Emmanuel Adebayor ke atas Santi Cazorla pada minit ke-17.

Gaya permainan dan karakter Jack Wilshere sering dibandingkan dengan lagenda England, Paul Gascoigne yang sering menerima layangan kad kuning atau kad merah lantaran aksi keras yang dipamerkan dan sikap panas baran di atas padang. Pemain muda Arsenal ini turut menerima kad kuning meskipun beraksi kurang daripada 30 minit ketika bersama England menentang Sweden pada Rabu lalu.

Situasi ini mungkin disebabkan kekecewaanya tidak dapat beraksi bersama Arsenal selepas mengalami kecederaan serius menyaksikan pemain tengah Arsenal ini terlepas aksi sepanjang musim 2011/12. Pemain Muda Terbaik PFA 2010/11 ini telah melakukan 35 penampilan bersama Arsenal namun rekod disiplin tidak begitu baik dengan memunggut 7 kad kuning dan 1 kad merah sepanjang musim itu.

Jack Wilshere juga sering kali dilihat menerima provokasi daripada pemain-pemain lawan yang sedikit sebanyak menjejaskan kualiti dan fokusnya terhadap perlawanan. Selain itu, pemain-pemain lawan juga dilihat acap kali melakukan asakan-asakan keras terhadapnya yang boleh mencetuskan kemarahan dan insiden pergaduhan sekaligus mengundang layangan kad kuning atau kad merah.

Namun, pemain seperti Jack Wilshere sangat diperlukan oleh Arsenal kerana memiliki sikap pembela yang tinggi seperti yang dipamerkan oleh Patrick Vieira dan Martin Keown suatu ketika dahulu yang menyebabkan pemain lawan tidak berani melakukan kekasaran terhadap pemain-pemain Arsenal. Tetapi Wilshere seharusnya bijak mengawal emosi bagi mengelak sebarang layangan kad yang bakal menejejaskan rentak dan taktikal perlawanan.

This entry was posted in Perspektif and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply