[PERSPEKTIF] SAYA TIDAK MERAGUI KEMAMPUAN SAYA – GIROUD

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud menegaskan bahawa dirinya tidak pernah ragu dengan kemampuannya untuk menjaringkan gol. Pemain antarabangsa Perancis berusia 26 tahun ini terpaksa menunggu lebih 2 bulan untuk menjaringkan gol pertamanya bersama Arsenal ketika membantu kemenangan 3-1 Arsenal ke West Ham United pada Oktober lalu.

Kini, Giroud mengakui prestasinya semakin meningkat dengan menjaringkan gol bersama Arsenal temasuk ketika menentang Reading dalam saingan Piala Capital One dan di pentas Liga Juara-Juara Eropah berdepan Schalke 04 minggu lalu. Penyerang kelahiran Caen, Perancis ini turut menjaringkan 2 gol ketika Arsenal seri 3-3 dengan Fulham.

“(Kualiti) permainan saya semakin meningkat,” kata Giroud kepada laman web rasmi arsenal.com.

“Saya yakin dengan kemampuan saya dan tidak mudah menyerah kalah. Saya sentiasa berusaha untuk tenang dan cuba memperbaiki permainan saya walaupun ketika mengalami kemarau jaringan.”

“Prestasi baik saya sememangnya tidak mengejutkan. Saya ingin bermain lebih banyak perlawanan lagi dan mendorong kejayaan kelab ini. Saya harus menjaringkan lebih banyak gol.”

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Arsenal pada 26 Jun 2012 dengan yuran perpindahan bernilai £12 juta daripada kelab Ligue 1, Montpellier. Giroud turut bersimpati dengan rakan sepasukannya, Mikel Arteta yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan menyaksikan Arsenal sekadar berkongsi satu mata dengan Fulham hujung minggu lalu.

“Itu merupakan detik-detik yang mencabar tetapi saya rasa kami memiliki pemain-pemain yang berkualiti. Kami mempunya masa depan yang cerah,” kata Giroud lagi.

“Saya rasa Mikel (Arteta) terlalu ingin menjaringkan gol kerana dia telah memberikan sepakan penalti kepada lawan (sebelum itu).”

“Saya amat yakin. Ada yang bertanya saya mengapa saya tidak mengambil sepakan itu tetapi pengurus mempunyai senarai pemain yang akan mengambil sepakan penalti.”

“Mikel berada di bawah tekanan ketika itu dan ia bukannya sesuatu yang mudah untuk menyempurnakan sepakan penalti,” kata penyerang antarabangsa Perancis itu lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply