[PERSPEKTIF] ROBIN VAN PERSIE ANCAMAN UTAMA – MERTESACKER

Pertahanan Arsenal, Per Mertesacker mengakui bahawa bekas penyerang Arsenal yang kini menyarung jersi Red Devils merupakan ancaman utama The Gunners malam ini. Pertahanan antarabangsa Jerman itu sempat menghabiskan tempoh semusim bersama Robin van Persie sejak menyertai Arsenal pada 31 Ogos 2011 dari kelab Jerman, Werder Bremen.

“Dia (Robin) seorang pemain yang memiliki kemahiran yang tinggi dan pergerakannya sukar untuk dijangka,” kata Mertesacker kepada Arsenal Player.

“Kami banyak berlatih bersama-sama tahun lalu. Kadang-kadang saya berasa selesa bermain menentang dia dan kadang kala tidak.”

“Dia seorang pemain yang mampu bergerak dengan pantas kerana dia memiliki kemahiran dan keupayaan yang tinggi, dan kita dapat saksikan musim lalu.”

“Tetapi bukan dia seorang sahaja yang boleh menjaringkan gol atau memberi ancaman kepada kami tetapi bergantung juga kepada persembahan kami (malam ini). Saya tidak pernah beraksi di sini dan saya rasa ini merupakan pengalaman yang hebat dapat menentang Man United di Old Trafford.”

Mertesacker kembali membukti kemampuannya musim ini selepas dikritik hebat musim lalu ekoran persembahan yang kurang memberansangkan. Pertahanan berusia 28 tahun ini mengakui gembira beraksi bersama kelab hebat seperti Arsenal.

“Saya rasa tahun pertama agak sukar. Saya perlu banyak bertenang dan bersabar untuk menyesuaikan diri di sini,” kata bekas pertahanan Werder Bremen itu.

“Tahun ini saya rasa lebih yakin dengan permainan saya serta suasana di bilik persalinan. Ini membuatkan saya tampil lebih baik dan lebih menyakinkan.”

“Semua orang di sini mengambil tanggungjawap dan mahu bermain. Kami memiliki skuad yang kuat ketika ini. Apabila kami bermain, saya berasa sangat baik berbanding tahun lalu,” kata Mertesacker lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply