[PERSPEKTIF] KECEDERAAN MENJADIKAN SAYA LEBIH KUAT – SZCZESNY

Wojciech Szczesny menjelaskan kecederaan buku lali yang dialaminya menjadikan dirinya semakin kuat dan bersedia untuk mengharungi cabaran bersama Arsenal musim ini. Namun penjaga gol berusia 22 tahun itu mengakui dirinya turut dihimpit kekecewaan sepanjang disisihkan kerana kecederaan yang dialaminya dan berusaha untuk lebih tabah serta belajar menghadapi situasi sukar itu.

Penjaga gol muda kelahiran Poland ini terpaksa diketepikan selama 2 bulan kerana mengalami kecederaan buku lali ketika membantu Arsenal membelasah Southampton 6-1 di Stadium Emirates pada 15 September lalu. Wojciech Szczesny bakal kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Arsenal menentang musuh setempat, Spurs malam esok.

“Kecederaan membuat seseorang pemain itu semakin kuat dan itulah yang saya rasakan,” kata Wojciech Szczesny.

“Sebagai seorang penjaga gol, saya merasakan saya memiliki kemampuan yang baik. Namun, apabila kecederaan menimpa saya, semuanya sangat menyakitkan.”

“Tetapi saya menghadapinya dengan positif. Saya berjuang untuk segera pulih kerana saya mahu memberikan yang terbaik kepada Arsenal. Saya seorang yang sangat optimis.”

Wojciech Szczesny mengakui perlawanan menentang Spurs merupakan satu tugas berat Arsenal kerana kedua-dua pasukan mahu mendapatkan mata yang maksimum bagi memburu kedudukan teratas liga.

“Ia merupakan satu perlawanan yang sukar dan saya bersedia menghadapinya. Kedua-dua pasukan mengharungi permulaan musim yang mengecewakan tetapi saya yakin kami mampu mengatasinya.

“Semoga kerja keras kami yang sama dapat mengulangi keputusan bulan Februari lalu. Kami bermula dengan teruk pada awal musim dan semua orang kecewa sepanjang beberapa minggu ini,” kata Szczesny lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply