[PERSPEKTIF] FRIMPONG MAHU IKUT JEJAK LANGKAH ALEX SONG

Pemain tengah Arsenal, Emmanuel Frimpong baru sahaja kembali dari kecederaan dan Arsene Wenger berpendapat bahawa pemain berusia 20 tahun itu memerlukan beberapa aksi dalam kesebelasan utama bagi mendapatkan kembali rentak permainannya. Kini, pemain kelahiran Kumasi, Ghana dipinjamkan ke Charlton Athletic sehingga 1 Januari 2013.

Emmanuel Frimpong menyertai akademi Arsenal ketika berusia 9 tahun pada 2001 dan telah mendapat debut bersama skuad utama Arsenal pada 13 Ogos 2011 ketika menentang Newcastle United. Pada 1 Januari 2012, Frimpong menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers sehingga ke penghujung musim namun kecederaan ligamen lutut ketika menentang QPR menyaksikan tempoh pinjamannya berakhir lebih awal.

Charlton Athletic juga merupakan pasukan yang pernah membantu Alex Song ketika berusia 20 tahun bagi mempertingkatkan kualiti permainannya di mana pemain antarabangsa Cameroon itu menyertai The Addicks pada 30 Januari 2007 hingga ke penghujung musim. Sekembalinya dari tempoh pinjaman, Alex Song mula menjadi pemain tetap dalam kesebelasan utama Arsenal dan Frimpong berharap tempoh pinjaman ini dapat membantu dia mengikut jejak langkah Song.

“Mudah-mudahan saya boleh mengikuti jejak langkah Alex (Song),” kata pemain muda Arsenal berusia 20 tahun itu.

“Dia datang ke sini (Arsenal) apabila Charlton berada dalam Liga Perdana dan dia sangat baik untuk membantu pasukan.”

“Dia memperbaiki permainan beliau dan itulah sebabnya mengapa selepas dia meninggalkan Charlton, dia bermain dalam pasukan pertama Arsenal. Semoga saya boleh mengikuti jejak langkah beliau dan melakukan perkara yang sama.”

“Saya sangat gembira berada di sini, saya tahu Charlton adalah kelab yang baik yang telah berada di Liga Perdana Inggeris untuk beberapa tahun,

“Ketika ini, mereka (Charlton) bersaing dalam Liga Kejuaraan tetapi berada di sini untuk bermain dan membantu pasukan ini berada di kedudukan yang terbaik. Saya pernah mengalami kecederaan untuk tempoh masa yang lama dan saya kembali dan untuk beraksi dalam skuad utama Arsenal adalah sukar.”

“Pengurus Arsenal memberitahu saya agar datang ke sini, beraksi beberapa perlawanan sehingga Januari nanti dan melihat hasilnya,” kata Frimpong lagi.

Buat Emmanuel Frimpong, selamat maju jaya.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply