[PERSPEKTIF] ABOU DIABY LEBIH BAGUS DARI SAYA – VIEIRA

Lagenda Arsenal, Patrick Vieira percaya Abou Diaby sepatutnya menjadi pemain yang lebih bagus daripadanya jika tidak dibayangi masalah kecederaan yang berulang. Bekas pemain tengah Auxurre ini sering dibandingkan dengan Patrick Vieira kerana memiliki gaya permainan dan kelebihan fizikal yang hampir sama namun gagal menampilkan aksi terbaik sejak menyertai Arsenal 10 tahun yang lalu.

Episod kecederaan berulang yang dialami oleh Abou Diaby menyaksikan pemain tengah itu gagal memberikan impak yang besar kepada Arsenal. Pemain berusia 26 tahun ini hanya beraksi dalam 117 penampilan bersama The Gunners setakat ini namun memiliki potensi besar untuk menjadi watak yang penting dalam skuad Arsenal.

“Saya hampa dan kecewa dengan kecederaan yang dialami oleh Abou Diaby,” kata Patrick Vieira kepada France Football.

“Jika dia terus berusaha untuk mempertingkatkan persembahan dirinya secara berterusan, dia boleh mencapai satu tahap di luar jangkaan.”

“Mengenai potensi dirinya, Diaby lebih baik dari saya samada dari segi teknik dan kemahiran mengelecek serta keupayaan untuk menjaringkan gol. Hanya satu perkataan (untuk Diaby), lebih versetail daripada saya.”

“Mungkin kerana saya mempunyai ketahanan fizikal yang lebih baik. Saya merasakan sangat sukar untuk Diaby mencapai tahap terbaiknya tetapi masih belum terlambat.”

Patrick Vieira kini bertugas selaku Eksekutif Pembangunan Bola Sepak Manchester City mengakui bahawa pemain tengah antarabangsa Ivory Coast, Yaya Toure merupakan pemain terbaik dan tonggak utama pasukan The Citizen.

“Yaya Toure sangat mengagumkan saya. Dia memiliki kualiti teknikal yang baik sejak saya menyaksikan dia beraksi bersama Barcelona. Tetapi di (Man) City, dia sangat bagus menjana serangan. Saya percaya Yaya mampu memberi sumbangan besar kepada pasukan kami,” tambah Vieira lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply