[PERSAHABATAN] GILIRAN THAILAND TEWASKAN MALAYSIA

Skuad Malaysia bimbingan Datuk K. Rajagopal masih tercari-cari rentak dengan terus mempamerkan aksi yang tidak menentu apabila tewas 2-0 kepada Thailand dalam perlawanan pemanas badan di Stadium Muang Thong, Nonthaburi semalam. Kekalahan ini menimbulkan kerisauan di hati penyokong-penyokong setia Harimau Malaya menjelang 16 hari sebelum sepak mula kejohanan Piala Suzuki AFF 2012.

Malaysia tampil selaku juara bertahan dengan misi mempertahankan kejuaraan dwi tahunan yang dimenangi 2 tahun lalu itu. Namun, episod kekalahan demi kekalahan serta prestasi yang tidak konsisten skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan perlu diambil serius oleh K. Rajagopal dalam usaha mencari tonik terbaik menjelang perlawanan pembukaan 24 November ini.

K. Rajagopal menurunkan Farizal Marlias selaku penjaga gawang dengan Fadhli Shas dan Aidil Zafan bergandingan selaku center back sementara Bunyamin Omar dan Zubir Azmi bertindak di bahagian bek kanan dan kiri. Pengendali skuad kebangsaan itu melakukan percaturan dengan menurunkan Gary Steven Robbat dan Shakir Shaari selaku defensive midfielder

Sementara itu, Datuk K. Rajagopal mengenepikan kapten kebangsaan, Safiq Rahim dan penjaga gol utama, Khairul Fahmi di bangku simpanan sebaliknya mempertaruhkan Azamudin Akil selaku sayap kanan dan S. Kunalan di posisi sayap kiri bagi mencipta gerakan dan peluang buat dua penyerang negara, Nor Shahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Ketiadaan Safiq Rahim yang juga perancang utama skuad negara menyebabkan barisan tengah skuad negara yang dikemudi Gary Steven Robbat seolah-olah hilang punca dan gagal mengatur sebarang gerakan menarik untuk mengancam kubu lawan. Ketika Mat Yo dan Safee Sali dahagakan jaringan selepas gagal meledak ketika berdepan Vietnam.

Sebaliknya, Thailand lebih banyak mendominasi perlawanan dalam 10 minit pertama perlawanan termasuk melakukan percubaan dari jarak jauh yang diselamatkan dengan baik oleh Farizal Marlias. Peluang pertama Harimau Malaya menerusi S. Kunalan apabila Safee Sali memberi hantaran tepat namun percubaan pemain sayap itu gagal menembusi benteng pertahanan lawan.

Prayad Boonya akhirya menjaringkan gol pertama Thailand dengan tandukan pada minit ke-26 susulan sepakan sudut dari sebelah kanan gawang negara. Malaysia cuba membalas dengan tendangan percuma Aidil tetapi rembatannya tersasar. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Sejurus babak kedua bermua, Malaysia terus hampa memburu jaringan namun percaturan membawa masuk Badrol Bakhtiar, Mahali Jasuli, Fakri Saarani, Zaquan Adha Radzak, Khyril Muhymeen Zambri, dan R. Gopinathandan berjaya mengubah rentak permainan namun masih gagal menembusi gawang Thailand.

Rembatan jauh Shakir Shaari dan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-70 dan 74 berjaya dinafikan oleh penjaga gol Thailand. Barisan pemain negara turut gagal mengambil kesempatan apabila Thailand beraksi 10 pemain pada minit ke-72 selepas Adul Lahsoh dibuang padang apabila lawan sebaliknya menggandakan jaringan menerusi rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti pada minit ke-80 bagi menewaskan Farizal buat kali kedua.

Kekecewaan bertambah memuncak buat pemain negara apabila Aidil Zafuan dilayangkan kad kuning kedua lima minit selepas lawan meledak jaringan itu. Tandukan minit-minit akhir Ahmad Fakri yang mendapat umpanan lintang R. Gopinathan sempat dinafikan oleh penjaga gol Thailand.

Skuad negara dijangka kembali hari ini dengan Hong Kong menjadi lawan terakhir Rabu depan sebelum memulakan kempen Kumpulan B mempertahankan Piala Suzuki AFF di Kuala Lumpur menentang Indonesia, Singapura dan Laos.

This entry was posted in Perlawanan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply