[MOTO GP] ZULFAHMI KHAIRUDDIN TAMATKAN MUSIM 2012 DENGAN CEMERLANG

Pelumba sensasi negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin cemerlang menamatkan saingan musim 2012 dengan bergaya apabila menduduki podium kali kedua dalam kariernya selaku pelumba Moto3 selepas berjaya memintas Brad Binder di selekoh terakhir sekaligus menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-3 dalam Grand Prix Valencia 2012.

Kejayaan meraih kedudukan podium keduanya musim ini membolehkannya meraih 16 mata berharga selepas turut menaiki podium ketika beraksi Litar Sepang bulan lalu dan melonjakkan kedudukannya ke tempat ketujuh kedudukan Moto3 mengumpul 128 mata.

Bermula di kedudukan ke-17, pelumba Air Asia SIC Ajo Racing mengambil pendekatan yang berhati-hati apabila kekal bersama kumpulan pendahulu dalam saingan membabitkan 25 pusingan itu dan hanya memulakan pecutan ketika berbaki lima pusingan dengan pelumba negara berusia 21 tahun merekodkan catatan terpantas.

Berbaki tiga pusingan, Zulfahmi mengatasi pelumba Afrika Selatan, Brad Binder untuk melonjak di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo Racing, Sandro Cortese dan Danny Kent.

Zulfahmi berkata dia mengambil pendekatan berhati-hati kerana keadaan litar basah dan licin, keadaan yang tidak digemarinya.

“Saya sangat berhati-hati sejak awal dan hanya mengekori pendahulu perlumbaan. Saya melihat beberapa pelumba terbabas, jadi saya lebih berhati-hati sehingga peringkat terakhir perlumbaan. Saya mengambil risiko yang tinggi pada selekoh terakhir dan gembira memenangi podium kedua,” kata Zulfahmi selepas tamat perlumbaan.

PELUMBA PALING MENINGKAT 2012

Anak kelahiran Banting, Selangor ini merupakan pelumba tunggal negara yang beraksi dalam saingan Moto3 sekali lagi berjaya mengharumkan nama negara apabila diilih menerima Anugerah Pelumba Paling Meningkat 2012 bagi kategori Moto3. Pemilihan ini dibuat menerusi laman sesawang rasmi Kejuaaraan Moto GP Dunia, www.motogp.com menerusi pemilihan ‘After The Flag’ setiap tahun.

“Saya memang sangat berbangga untuk menerima anugerah ini,” kata Zulfahmi.

“Ia adalah satu pengiktirafan besar atas usaha saya tahun ini dan ia pasti akan mendorong saya untuk bekerja lebih gigih dalam mencapai matlamat untuk menjadi pelumba utama bertaraf dunia.”

“Anugerah ini juga akan pasti meningkatkan keyakinan saya untuk musim depan,” kata pelumba pasukan AirASia-SIC Ajo Racing seperti dipetik dalam laman rasmi Sepang International Circuit (SIC), www.malaysiangp.com.

Pelumba berusia 21 tahun mula menceburi dunia MotoGP sebagai pelumba ‘wildcard’ dalam acara 125cc pada MotoGP Grand Prix Malaysia pada 2009. Pada tahun berikutnya, Zulfahmi menunjukkan peningkatan mendadak dalam musim pertama kategori 125cc dan dengan sokongan pasukan Ongetta Racing Team, berpangkalan di Itali, beliau menduduki tempat ke-24 keseluruhan.

Pada 2011, beliau memperbaiki kedudukan di tangga ke-18 selepas mengumpul 30 mata. Pada musim pertama Kejuaraan Dunia Moto3 tahun ini, Muhammad Zulfahmi mencipta sejarah apabila menduduki podium di tempat kedua pada Grand Prix Malaysia bulan lepas. –BERNAMA

p/s : Kalau nak merempit biar sampai jadi juara dunia. Jangan sekadar menjadi jaguh kampung sahaja. Syabas, Zulfahmi Khairuddin atas pencapaian tahun 2012.

This entry was posted in Permotoran and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply