[LIGA MALAYSIA] PERAK INTAI KELIBAT JOHN CAREW

Kancah Liga Malaysia 2012 bertambah hangat dengan kehadiran pemain-pemain import berpengalaman. Tidak ketingagalan pasukan Perak dilaporkan sedang mengadakan perbincangan dengan bekas penyerang antarabangsa Norway, John Alieu Carew. Pengurus pasukan Perak, Khairul Azwan Harun mengakui pasukannya sedang mengadakan perbincangan serius untuk membawa pemain berusia 33 tahun beraksi bersama skuad Seladang musim hadapan.

“Saya berharap impian membawa pemain bertaraf dunia itu ke Ipoh akan menjadi kenyataan,” jelas Azwan dalam sidang media mengumumkan hasrat Perak mendapatkan John Carew di pejabat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ipoh semalam.

John Carew memiliki pengalaman yang luas di pentas antarabangsa dengan beraksi dalam 91 perlawanan dengan menjaringkan 24 gol sejak tahun 1998 lalu. Pemain berketinggian 1.97m ini pernah beraksi dalam Kejohanan EURO 2000 dan 2008 bersama skuad kebangsaan Norway

Pemain berusia 33 tahun ini pernah beraksi bersama beberapa kelab-kelab terkemuka Eropah antaranya Valencia (2000-2004), AS Roma (2003-2004), Besiktas (2004-2005), Olympique Lyon (2005-2007), Aston Villa (2007-2011), Stoke City (2011) dan West Ham United (2011-2012).

Selain John Carew, Perak juga sedang mengintai beberapa pemain dari Liga Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Perak berharap dapat memuktamadkan pengambilan dua pemain import itu sebelum 3 Disember depan,” kata Azwan.

Azwan memberitahu Perak perlu menghantar nama kedua-dua pemain import kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 5 Disember. Sebelum ini, Perak sudah menguji tiga pemain Brazil dan masing-masing seorang pemain Rusia dan Liberia sejak minggu lalu. Walau bagaimanapun, Azwan berkata, kelima-lima pemain yang dibawa oleh ejen itu tidak mencapai kualiti yang ditetapkan.

Difahamkan, Perak tidak jadi mengambil penjaring terbanyak Liga Singapura, Federic Mendy dari Home United kerana penyerang tersebut enggan menjalani ujian pemilihan. Sebaliknya, Mendy ingin terus menandatangani kontrak dengan skuad Seladang tanpa menjalani ujian pemilihan. Azwan berkata, Perak akan menguji beberapa pemain import lagi dalam perlawanan ujian pada 23 November nanti.

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply