[LIGA MALAYSIA] GILIRAN SIMONE DEL NERO SERTAI JOHOR

Selepas berjaya memikat bekas penyerang La Liga Sepanyol, skuad Harimau Selatan terus garang memburu pemain-pemain terbaik untuk mengukuhkan skuad bagi saingan musim hadapan. Terbaru, Johor FA berjaya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain berpengalaman dari Serie A Itali, Simone Del Nero sekaligus melengkapkan kuota 2 pemain import musim hadapan.

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Carrara, Itali  merupakan bekas pemain kelab Serie A Itali, Lazio selama 5 musim telah menandatangani kontrak 1+1 bersama pasukan Johor FA. Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap dengan pendirian baginda untuk tidak mendedahkan nilai kontrak dan gaji pemain import baru itu.

“Nilainya rahsia. Sebelum ini kita berjaya mengikat bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza dan kini Del Nero akan memperkemaskan bahagian tengah skuad Johor,” kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang akhbar khas menyambut kehadiran Del Nero di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam.

Sementara itu, Del Nero yang kini beraksi secara pinjaman bersama A.C Cesena dalam saingan Serie B Liga Itali berkata: “Saya dimaklumkan (oleh ejen) bahawa saya akan bermain dengan beberapa nama besar dalam arena bola sepak tempatan.”

“Ia bukan satu masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan. Ingin juga saya tegaskan bahawa saya telah mendapat tawaran daripada beberapa kelab Eropah termasuk Itali tetapi saya memilih untuk menyarung jersi Johor.

“Tambahan, bos saya (Tunku Ismail) mempunyai perancangan yang hebat untuk pasukan ini, saya teruja menjadi sebahagian daripada pemain dalam misi memburu kejuaraan,” kata pemain sayap kanan kelahiran Itali itu lagi.

Simone Del Nero memulakan karier awal bersama kelab remaja Empoli sebelum diserapkan ke dalam skuad utama Empoli pada 1998 hingga 2000. Del Nero kemudiannya berhijrah ke Brescia pada tahun 2000 hingga 2007 dengan melakukan 215 penampilan dan menjaringkan 79 gol. Pemain berusia ini pernah dipinjamkan ke kelab Divisyen 1 Scotland, Livingston (2001-2002) dan Palermo (2003).

Pada musim panas 2007, Lazio pantas menyambar khidmat pemain sayap ini dengan menandatangani kontrak selama 5 tahun  dengan turut membantu Lazio menamatkan kedudukan ketiga dalam Seria A Itali. Del Nero berjaya melakukan 152 penampilan dan meledak 67 gol serta turut meraih kejuaraan Coppa Italia pada 2008 dan Supercoppa Italiana pada 2009 sepanjang bersama Lazio.

Pencapaian terhebat Del Nero pastinya apabila berjaya membantu pasukan Itali B-21 tahun bergelar juara Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece juga pada tahun sama. Dengan kehadiran Del Nero, Andre Francisco Da Silva yang pada awalnya akan diserap dalam pasukan Johor kembali bersama Johor United musim depan.

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply