[KOMENTAR] HARIMAU MALAYA SIMPAN KUKU, SEMBUNYI TARING?

Aksi hambar Harimau Malaya sepanjang siri perlawanan persahabatan jelas menimbulkan kegusaran di benak setiap penyokong-penyokong negara. Di sebalik harapan yang menggunung rakyat Malaysia mempertahankan kejuaraan yang dimenangi 2 tahun lalu di Jakarta, Indonesia namun Dato’ K. Rajagopal masih melakukan eksperimen mencari kombinasi terbaik bagi membentuk skuad yang mantap sepanjang siri perlawanan persahabatan yang lalu.

Walau bagaimana pun, Dato’ K. Rajagopal tetap tenang menghadapi situasi ini dan mengakui sudah menemui formula terbaik dan memiliki skuad yang mantap dalam usaha mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012.

Pengendali skuad kebangsaan itu juga yakin anak-anak buahnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal menjelang perlawanan pembukaan kumpulan B menentang Singapura di Stadium Bukit Jalil, malam ini.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menyeru agar rakyat Malaysia bersatu hati meniupkan api perjuangan Harimau Malaya dan meminta agar penyokong-penyokong bersabar dengan memberi peluang untuk skuad kebangsaan membuktikan kemampuan mereka.

PERLAWANAN PERSAHABATAN ANTARABANGSA MALAYSIA (sejak September 2012)

11 Spetember 2012 – Malaysia (0) vs Vietnam (2)

20 September 2012 – Malaysia (3) vs Kemboja (0)

16 Oktober 2012 – Hong Kong (0) vs Malaysia (3)

3 November 2012 – Vietnam (1) vs Malaysia (0)

7 November 2012 – Thailand (2) vs Malaysia (0)

14 November 2012 – Malaysia (1) vs Hong Kong (1)

20 November 2012 – Malaysia (1) vs Bangladesh (1)

Di sebalik rekod yang kurang memberansangkan Harimau Malaya, namun jurulatih pasukan negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam tetap waspada dengan kemampuan sebenar skuad Malaysia yang dilihat tidak mempamerkan mutu persembahan sebenar dan menjadikan Malaysia selaku pencabar utama kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012.

Jurulatih Vietnam, Phan Thanh Hung memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak bermimpi indah selepas menewaskan Malaysia dalam perlawanan persahabatan kerana dia menyifatkan itu bukan skuad Malaysia yang sebenarnya. Sementara itu, jurulatih Indonesia turut mengatakan rekod perlawanan persahabatan tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan sebenar Harimau Malaya.

“Saya masih melihat Malaysia sebagai pasukan yang bagus. Mereka juara bertahan dan menewaskan Indonesia sebelum ini (final Piala AFF Suzuki 2010). Kalau tewas dalam aksi persahabatan ia bukan bererti mereka tidak bagus, kami harus berwaspada. Bola sepak sesuatu yang tidak boleh dijangka namun adalah penting sebagai jurulatih agar mengingatkan pemain supaya mempunyai keinginan dan hasrat untuk memberikan yang terbaik. Hanya hasil akhir terserah (kepada Tuhan).” kata Nil Maizar, jurulatih Indonesia.

Jurulatih Thailand dari Jerman, Winfried Schafer juga nyata tidak berpuas hati dengan perlawanan menentang Malaysia tempoh hari kerana anak-anak buah Datuk K. Rajagopal tidak serius dan sengaja tidak memberi tekanan. Pertahanan Thailand, Ponupong Wongsa pula mengakui terkejut dengan persembahan Malaysia yang dilihat gagal memberi saingan.

“Malaysia seperti sedang menguji pemain baru dan kami langsung tidak dapat tentangan sengit dari mereka. Mereka tidak banyak melakukan percubaan.” kata Ponupong Wongsa.

Situasi yang sama turut dihadapi oleh Malaysia ketika menjulang kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 di mana tewas dalam 2 aksi panas badan termasuk 0-3 kepada Oman dan 2-3 kepada Selangor selain turut dibelasah oleh tuan rumah Indonesia 5-1 dalam aksi pembukaan Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Incoming search terms:

  • team football malaysia
This entry was posted in Komentar and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply