[KOMENTAR] BERBALOIKAH RM6 JUTA UNTUK NORSHAHRUL IDLAN

Kemelut penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau ‘Mat Yo’ dilihat berakhir selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersetuju melepaskannya untuk menyertai Johor FA. Namun, skuad Harimau Selatan kemungkinan perlu menyediakan dana sebesar RM6 juta jika mahu mendapatkan khidmat Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut (2010-2012).

Nilai RM6 juta itu termasuk kos tajaan dan pengurusan Mat Yo sepanjang bersama Kelantan selain jumlah tebus kontrak yang masih berbaki setahun. Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tebus kontrak bukan hanya bergantung kepada gaji seseorang pemain malah perlu dilihat daripada pelbagai aspek terutamanya kesan kepada penaja yang menaja pasukan dan pemain.

Mat Yo yang menerima bonus kira-kira RM70,000 hingga RM80,000 setahun ketika bersama Kelantan dan perkara itu perlu diambil kira bagi perpindahan pemain yang masih terikat dengan kontrak. Dan Kelantan bersedia melepaskannya dan keputusan terletak kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) andai setuju dengan syarat dalam surat tawaran itu.

“Ramai tidak faham mengenai syarat perpindahan pemain. Kita tidak boleh lihat gaji pemain saja sebaliknya perlu dilihat dalam semua aspek termasuk kos penajaan malah penaja juga akan mendapat kesan.

“Lebih kurang RM3 juta kos pengiklanan imej Mat Yo dilaburkan penaja dan tidak termasuk kos pengurusan sepanjang bersama pasukan hingga kami mampu mencipta kejayaan ini.”

“Jika RM6 juta itu menjadi harga Mat Yo, perpindahan itu mungkin tidak akan berlaku dan Kafa mengambil pendekatan untuk bersikap adil bagi kedua-dua pihak namun perlu ikut syarat ditawarkan,” kata Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui pada sidang media di Majlis Sukan Negeri (MSN), Telipot, semalam.

Norshahrul Idlan Talaha merupakan anak kelahiran Besut, Terengganu namun membesar di Perak dan memulakan karier awalnya bersama skuad Piala Presiden Perak sebelum diserapkan ke dalam skuad utama Perak pada 2003 hingga 2005. Penyerang berusia 26 tahun kemudiannya berkelana ke Negeri Sembilan (2006-2007) dan UPB-MyTeam (2007-2009) sebelum mencipta nama bersama pasukan Kelantan pada 2010. Sehingga kini, Mat Yo sudah meledak 44 gol dalam 95 perlawanan bersama The Red Warrior.

Mat Yo merupakan sebahagian pemain utama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagopal menjadi gandingan bersama Safee Sali di bahagian serangan yang berjaya membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertamanya pada 2010. Mat Yo memulakan debut bersama skuad kebangsaan pada 28 Oktober 2007 dan telah menjaringkan 3 gol dalam 27 perlawanan bersama Harimau Malaya.

Incoming search terms:

  • gaji norshahrul idlan talaha
This entry was posted in Komentar and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply