[HOKI] MALAYSIA IDAM ANJURKAN PIALA DUNIA 2018

Hasrat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk membida penganjuran Hoki Piala Dunia 2018 mendapat sokongan Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Leandro Negre. Namun tegas Negre, menjadi tuan rumah bagi kejohanan besar empat tahun sekali itu bukan sesuatu yang mudah, selain harus memenuhi segala kriteria ditetapkan.

Menurutnya, antara kriteria yang perlu diambil kira sebagai tuan rumah Piala Dunia ialah harus mempunyai stadium yang baik, hospitaliti buat pasukan, penajaan, liputan televisyen serta jumlah penyokong.

“Sesiapa sahaja boleh membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia dan saya juga menyokong hasrat mereka (MHC) menjadi tuan rumah.

“Proses untuk membida penganjuran Piala Dunia 2018 akan bermula awal tahun depan dan keputusan akan diketahui pada November 2013.

“Negara yang memenangi bidaan tersebut diberi tempoh selama lima tahun untuk membuat persiapan sebagai tuan rumah,” katanya kepada pemberita selepas forum Kongres Dunia FIH Ke-43 di sini, semalam.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu pada 1975 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur dan 2002 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Pencapaian terbaik skuad kebangsaan dalam saingan Piala Dunia ialah memperoleh tempat keempat pada 1957.

Piala Dunia yang terdekat ialah pada 2014 yang bakal berlangsung di The Hague, Belanda. Sementara itu, Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, seandainya Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 venue pertandingan utama yang dicadangkan ialah di Kuantan, Pahang.

Sumber : www.utusan.com.my

This entry was posted in Hoki and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply