[HOKI] MALAYSIA CEMERLANG BENAM POLAND, KOREA SELATAN

Malaysia meneruskan aksi cemerlang apabila melakar kemenangan bergaya ke atas pasukan ranking ke-7 dunia, Korea Selatan 4-2 pada Cabaran Juara-Juara 1 Hoki Lelaki di Quilmes, Argentina semalam. Kejayaan ini menyaksikan skuad bimbingan Paul Revington berjaya mengungguli kedudukan teratas kumpulan A dalam saingan dengan 6 mata maksimum selepas dua perlawanan.

Pertembungan dua wakil Asia dalam kejohanan ini bermula sengit dengan Korea Selatan berjaya memperolehi jaringan awal menerusi pakar pukulan sudut mereka, Jang Jong Hyun pada minit ke-8 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-18 juga menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil kembali melonjakkan semangat melawan Malaysia apabila menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-30 dan ke-31 manakala pemain penuh berpengalaman, Chua Boon Huat pula meledak gol keempat pada minit ke-48 yang meletakkan pasukannya pada kedudukan kukuh untuk mara ke perlawanan separuh akhir.

Meskipun Jang Jong Hyu berjaya menjaringkan gol kedua Korea Selatan, namun sudah terlambat untuk pasukan bimbingan Shin Seok Kyo menghalang kemenangan bergaya skuad negara. Terdahulu, Malaysia berjaya membelasah Poland 4-0 dalam perlawanan pembukaan Sabtu lalu. Kemenangan tersebut merupakan kemenangan pertama skuad negara di bawah bimbingan Paul Revington sejak mengambil alih tugas daripada Tai Beng Hai, Ogos lalu.

Pada perlawanan pertama kelmarin, Malaysia yang berada di kedudukan ranking ke-13 dunia tidak menghadapi masalah untuk melakukan serangan ke atas Poland yang menghuni tempat ke-19 dunia. Malah, skuad kebangsaan tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan awal pada minit ke-4 menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim hasil pukulan sudut penalti.

Penyerang negara, Nabil Fiqri Mohd. Noor menambah derita Poland lima minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila menghasilkan gol padang.

Babak kedua berlangsung dengan baik buat skuad bimbingan Paul Revington terus garang mengasak kubu Poland menyaksikan Malaysia dihadiahkan gol percuma daripada pasukan Poland hasil jaringan sendiri pasukan lawan pada minit ke-42.

Muhammad Razie sekali lagi menemui sentuhan gol juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-63. Namun, Malaysia bakal kehilangan khidmat pemain pertahanan, Baljit Singh yang mengalami kecederaan buku lali semasa aksi menentang Poland tempoh hari. Malaysia kini dilandasan terbaik untuk kembali menjulang maruah hoki negara dan bakal bertemu dengan Kanada esok bagi mengesahkan tiket ke separuh akhir.

This entry was posted in Hoki and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply