[CAPITAL ONE] ARSENAL PAMER KEBANGKITAN BENAM READING

Arsenal mempamerkan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan 4-0 seawal minit ke-37 sebelum menewaskan Reading 5-7 dalam saingan Piala Capital One yang berlarutan sehingga 120 minit masa tambahan di Stadium Madejski. Kemenangan ini menyaksikan The Gunners mara ke suku akhir untuk bertemu dengan Bardford City pada 12 Disember nanti. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menurunkan kesebelasan yang berbeza ketika menewaskan QPR Ahad lalu.

The Gunners bermula hambar dengan Reading lebih banyak menguasai bola dalam 10 minit pertama perlawanan. Reading hampir memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 namun tandukan Morrison sekadar menggegar tiang. Damien Martinez cemerlang menafikan gerakan Jay Tabb pada minit ke-8 yang berjaya melepasi kawalan dua pertahanan Arsenal.

Reading akhirnya berjaya memperoleh gol pertama perlawanan menerusi Jason Roberts yang menerima hantaran lambung dari sebelah kiri oleh Robson-Kanu pada minit ke-12. Arsenal semakin tertekan apabila Koscielny tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang sepakan Chris Gunter pada minit ke-18. Mikele Leigertwood terus menambah derita Arsenal apabila meledak gol ketiga menerusi rembatan jarak jauh yang gagal ditampan kemas oleh Martinez pada minit ke-20.

Bagaikan hilang punca, pemain-pemain Arsenal terus gagal mengimbangi rentak permainan Reading pada separuh masa pertama. Noel Hunt akhirnya berjaya meletakan Reading selesa mendahului 4-0 apabila berjaya melepasi kawalan Jenkinson untuk menanduk masuk hantaran lintang Garath McCleary pada minit ke-37.

Jaringan Theo Walcott selepas menerima hantaran cantik dari Arshavin pada masa kecederaan berjaya mengembalikan semangat melawan Arsenal.

Sebaik babak kedua bersambung, Reading terus garang mengasak gawang Arsenal dan hampir menambah gol namun tandukan Robson-Kanu pada minit ke-46 berjaya ditepis keluar oleh Martinez. Leigertwood terlepas peluang menjaringkan gol kedua peribadi apabila rembatannya pada minit ke-51 tersasar meskipun gawang Arsenal terbuka luas.

Arsenal pula terus hampa apabila Walcott gagal menyempurnakan hantaran lintang Jenkinson pada minit ke-55. Percaturan Arsene Wenger memasukan Olivier Giroud dan Thomas Eisfeld mengantikan Emannuel Frimpong dan Serge Gnabry pada minit ke-62 berjaya membuahkan hasil apabila penyerang antarabangsa Perancis itu berjaya menanduk masuk gol kedua Arsenal susulan sepakan sudut yang diambil oleh Walcott pada minit ke-64.

Giroud terus mengancam gawang Reading namun percubaanya pada minit ke-72 dan 77 berjaya ditampan oleh Adam Federici manakala tandukan Chamakh pula pada minit ke-80 sedikit tersasar. Percubaan Arshavin pada minit ke-82 juga gagal menemui sasaran.

Koscielny berjaya menebus kembali kesilapannya apabila menjaringkan gol ketiga Arsenal pada minit ke-89 apabila menanduk masuk sepakan sudut Walcott sekaligus menyemarakan lagi kebangkitan The Gunners. Walcott sekali lagi menjadi watak penting kemenangan Arsenal apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pemain gantian, Jobi McAnuff hampir meletakkan Reading kembali di depan namun rembatan berjaya ditampan kemas oleh Martinez pada minit awal masa tambahan.

Chamakh akhirnya menemui sentuhan gol apabila berjaya merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Federici pada minit ke-102 selepas menerima hantaran Arshavin. Walcott pula gagal melakukan penyudah berkesan meskipun berhadapan 1 lawan 1 dengan penjaga gol pada minit ke-106.

Namun, Pavel Pogrebnyak kembali mengikat kedudukan menerusi tandukannya yang menggegar gawang Arsenal pada minit ke-115 apabila menyambut hantaran Chris Gunter. Walcott berjaya melengkapkan hatriknya apabila merembat kencang bola muntah susulan percubaan Arshavin pada minit ke-120 sebelum Chamakh menjaringkan gol menerusi sepakan lambung sekaligus menutup sisa harapan Reading.

ANALISIS PERLAWANAN

Reading beraksi baik dengan gandingan tengah cukup serasi mengasak kubu Arsenal dan berjaya menjaringkan 4 gol pada separuh masa pertama. Sentuhan penyudah oleh Hunt dan Roberts dilihat begitu prolifik dalam membantu kejayaan The Royals musim ini. Sementara itu, Robson-Kanu dan McCleary turut cemerlang mengerakan serakan di bahagian sayap Reading dengan Leigertwood dan Tabb tenang mengemudi benteng tengah. Kealpaan pada minit-minit terakhir mengundang pada buat Reading.

Benteng pertahanan Arsenal begitu rapuh meskipun membariskan gandingan Koscielny-Djourou dengan dibantu oleh Jenkinson dan Miquel. Reading bijak memanfaatkan kelemahan pertahanan Arsenal apabila berhadapan dengan situasi bola tinggi. Kekurangan pengalaman Miquel digunakan sepenuhnya terutama oleh McCleary dan Gunter bagi mencipta gerakan mencari gol. Jenkinson pula tidak beraksi di tahap sebenar dengan beberapa kali gagal mengekang asakan lawan yang hampir menghukum Arsenal.

Percaturan Arsene Wenger mengubah taktikal dengan menggunakan dua penyerang dilihat berkesan dalam usaha memburu gol penyamaan. Gandingan Giroud-Chamakh-Walcott berjaya mengancam gawang Reading. Chamakh pula berjaya membuktikan dirinya masih relevan dalam skuad utama Arsenal terutama apabila menjaringkan gol menerusi rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti.

Theo Walcott pastinya paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik serta menghasilkan 2 assist sekaligus membuktikan kemampuan untuk diletakkan selaku central forward. Sementara itu, Arsenal turut berjaya menghasilkan 2 gol menerusi sepakan sudut yang diambil oleh Walcott. Giroud pula dilihat semakin berbisa namun masih perlu memperkemaskan lagi sentuhan penyudahnya.

Arshavin pula dilihat masih cergas untuk berada dalam skuad utama Arsenal apabila beraksi cemerlang sepanjang 120 minit dengan menghasikan 3 assist. Dua pemain muda kelahiran Jerman, Serge Gnabry dan Thomas Eisfeld turut beraksi cemerlang dan dilihat antara prospek masa depan Arsenal untuk disenaraikan ke dalam skuad utama beberapa musim akan datang.

MAN OF THE MATCH : THEO WALCOTT

STATISTIK PERLAWANAN

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply