[BULETIN] THIERRY HENRY KEMBALI KE ARSENAL JANUARI INI?

Lagenda Arsenal, Thierry Henry sekali lagi dikaitkan dengan kepulangan semula ke Emirates secara pinjaman pada Januari nanti. Penyerang berusia 35 tahun itu kini beraksi bersama New York Red Bulls dalam Major Soccer League (MLS) dengan meledak 15 gol dan menghasilkan 12 assist dalam 25 perlawanan musim ini. Thierry Henry meninggalkan Arsenal pada 2007 untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona selama 3 musim sebelum berhijrah ke Red Bulls pada Julai 2010.

Penyerang kelahiran Perancis ini melakukan kepulangan semula bersama pada Januari hingga pertengahan Februari lalu secara pinjaman sempena cuti pra-musim MLS sebagai penganti kepada Gervinho dan Marouane Chamakh yang menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2012. Thierry Henry merupakan penjaring gol terbanyak Arsenal sepanjang zaman dengan 228 gol daripada 378 perlawanan.

Henry melakukan debut kedua bersama Arsenal ketika masuk sebagai pemain gantian menentang Leeds United dan turut menjaringkan gol kemenangan The Gunners pada minit ke-78. Penyerang berusia 35 tahun itu sekali lagi menjaringkan gol kemenangan 2-1 Arsenal dalam perlawanan terakhirnya ketika menentang Sunderland pada 11 Februari 2012. Henry kembali ke pangkuan Red Bulls pada 17 Februari 2012 bagi melakukan persediaan menghadapi saingan musim MLS.

Meskipun tidak menyumbang banyak gol namun kepulangan Henry bersama The Gunners memberi impak yang besar kepada pembangunan pemain-pemain muda Arsenal yang dahagakan bimbingan daripada pemain-pemain hebat seperti Thierry Henry.

Penyerang kelahiran Perancis itu menjadi ikon dan idola pemain-pemain muda Arsenal sekaligus memberi suntikan semangat untuk mereka beraksi dengan lebih baik di atas padang.

Musim ini, Arsenal sekali lagi dihimpit prestasi yang tidak menentu ekoran pemergian dua pemain berpengaruh, Robin van Persie yang menyertai Manchester United dan Alex Song pula berhijrah ke Barcelona. Jentera serangan Arsenal pula dilihat kurang menyengat meskipun dibantu oleh kehadiran dua penyerang baru, Lukas Podolski dan Olivier Giroud.

Lantaran itu, kepulangan Thierry Henry ke Arsenal sangat penting dalam pembinaan keyakinan dan moral pemain-pemain Arsenal yang turut berdepan tekanan untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak 7 musim yang lalu. Henry mengakui dirinya sedia untuk kembali beraksi bersama Arsenal sekiranya keringatnya masih diperlukan.

Thierry Henry berkata : “Saya mahu kembali ke England, bersama Arsenal pastinya. Saya tidak merancangnya musim lalu. Saya hanya datang berlatih dan mereka (Arsenal) bertanya saya adakah saya mahu bermain. Siapa tahu ia mungkin kembali menjadi kenyataan sekali lagi.”

Kelibat penyerang lagenda itu untuk beraksi bersama The Gunners sentiasa menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh penyokong-penyokong Arsenal. Dengan gaya permainan yang bersahaja, sentuhan penyudahnya yang klinikal serta pengaruh besarnya di atas padang tetap menjadi tumpuan meskipun Thierry Henry kini kian dimamah usia.

This entry was posted in Buletin and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply