[BULETIN] THIERRY HENRY BAKAL JALANI LATIHAN BERSAMA ARSENAL

Penyerang lagenda Arsenal, Thierry Henry yang hadir menyaksikan skuad bimbingan Arsene Wenger membenam musuh setempat, Spurs 5-2 di Stadium Emirates Sabtu lalu sekali lagi bakal menjalani latihan bersama Arsenal pada cuti musim sejuk nanti. Musim lalu, Henry menghabiskan tempoh pinjaman selama 8 minggu bersama dengan menjaringkan 2 gol dalam 7 penampilan bersama The Gunners.

Penjaring gol terbanyak Arsenal sepanjang zaman itu meninggalkan Arsenal pada 25 Jun 2007 untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dengan yuran perpindahan bernilai £16.1 juta. Kini, Henry beraksi bersama kelab Major League Soccer (MLS), New York Red Bulls sejak Julai 2010.

Olivier Giroud mendedahkan bahawa bekas penyerang antarabangsa Perancis berusia 35 tahun itu akan kembali menjalani latihan sepanjang cuti musim sejuk bersama kelab kesayangannya, Arsenal selepas gembira melakukan kemunculan semula bersama The Gunners musim lalu.

“Henry akan menjalani latihan bersama kumpulan (Arsenal),” kata Giroud kepada RTL.

“Tetapi Henry memberitahu saya dia tidak pasti jika dia berpeluang untuk bergandingan dengan kami (sekali lagi) pada musim sejuk nanti,” kata Giroud lagi.

Thierry Henry menyertai Arsenal pada 3 Ogos 1999 dari kelab Serie A, Juventus dengan yuran perpindahan bernilai £11 juta selepas mengharungi musim suram di Itali untuk kembali berada di bawah kendalian bekas pengurusnya ketika berada di AS Monaco, Arsene Wenger. Penyerang kelahiran Les Ulis ini menjaringkan 228 gol sepanjang bersama Arsenal termasuk 2 gol ketika tempoh pinjaman pada musim panas lalu.

This entry was posted in Buletin and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply