[BULETIN] MASA DEPAN WALCOTT, SAGNA BERSAMA ARSENAL MASIH BUNTU

Arsene Wenger menegaskan bahawa dia akan cuba sedaya mungkin untuk mengekalkan Theo Walcott di Arsenal. Pemain antarabangsa England itu kembali di prestasi terbaiknya setelah pulih dari kecederaan 3 minggu lalu dengan muncul penjaring terbanyak Arsenal setakat ini dengan 8 gol dalam semua kejohanan. Arsenal kini berdepan kebimbangan ekoran kontrak pemain muda itu bakal berakhir pada musim panas akan datang.

Perbincangan mengenai kontrak baru Walcott untuk mengekalkannya lebih lama di Emirates masih lagi berjalan dan Wenger masih berusaha untuk memujuk pemain berusia 23 tahun itu. Situasi Walcott kini mirip situasi yang berlaku ke atas bekas penyerang Arsenal, Robin van Persie yang akhirnya dijual ke Manchester United selepas enggan menandatangani kotrak baru bersama The Gunners.

“Keinginan saya adalah untuk mengekalkan Theo (Walcott),” kata Arsene Wenger.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikannya kekal (di sini) dan berharap agar situasi ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.”

“Secepat mungkin sebelum penghujung Disember ini – jalan sehala atau sebaliknya, itu pasti.”

“Saya tidak mahu lagi mengulas lanjut mengenai perkara ini tetapi anda harus percaya bahawa kami akan berusaha semaksimum mungkin untuk mengekalkan pemain terbaik kami,” kata pengurus Arsenal itu lagi.

Sementara itu, masa depan seorang lagi pemain berpengalaman Arsenal, Bacary Sagna turut berada dalam keraguan selepas perbincangan mengenai kontrak barunya masih menemui jalan buntu. Kontrak sebenar pemain bek kanan Perancis ini bakal berakhir pada hujung musim ini dan Sagna dilaporkan mahu kenaikan £60,000 dalam kontrak barunya bersama Arsenal.

Pertahanan berusia 29 tahun itu mencetus kebimbangan penyokong-penyokong lantaran kenyataannya yang lantang mengkritik kegagalan kelab dalam mengekalkan Robin van Persie dan Alex Song pada musim ini. Sagna baru baru pulih dari kecederaan kembali beraksi dalam kesebelasan utama Arsenal menentang Manchester United dan Schalke 04 baru-baru ini.

“Semua orang menjangkakan Robin van Persie akan meninggalkan (Arsenal) tetapi Alex Song – ia sangat mengejutkan. Dan saya tidak memahaminya,” kata Bacary Sagna mengulas mengenai perpindahan Alex Song ke Barcelona.

“Ia satu kehilangan besar buat kelab. Apabila anda melihat dua pemain terbaik kami musim lalu meninggalkan (Arsenal), banyak persoalan yang bermain di fikiran.”

“Saya memahami mengapa peminat-peminat Arsenal menjadi tidak tenteram. Saya satu-satunya pemain yang masih kekal dalam skuad ini yang beraksi sejak 2007.

Sementara itu, beberapa kelab-kelab utama Eropah termasuk Inter Milan dilaporkan berminat mendapatkan tandatangan pemain berusia 29 tahun ini. Sagna turut mengakui dirinya mahu menjulang kejuaraan dengan memberi isyarat kemungkinan besar dia bakal meninggalkan Arsenal.

“Saya melihat Man City di atas pentas kejuaraan. Saya lihat Samir (Nasri) dan Gael (Clichy) menjulang trofi. Saya juga mahukannya,” kata bek kanan Perancis itu lagi.

This entry was posted in Perpindahan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply