[BULETIN] OLIVIER GIROUD TIDAK SABAR MAHU BERGANDINGAN DENGAN THIERRY HENRY

Thierry Henry kini hangat dikaitkan dengan kepulangan ke Arsenal menjelang cuti musim sejuk Major League Soccer (MLS). Penyerang berusia 35 tahun itu tampilĀ  selaku penjaring gol Arsenal terbanyak sepanjang zaman dengan 226 gol bersama The Gunners dari 30 Ogos 1999 sebelum menyertai Barcelona pada 25 Jun 2007. Arsene Wenger turut menyatakan hasrat untuk sekali lagi membawa Henry ke Emirates secara pada jendela perpindahan Januari nanti.

Musim lalu, Henry yang kini beraksi bersama New York Red Bulls menyertai Arsenal secara pinjaman selama 2 minggu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Gervinho dan Marouane Chamakh yang menjalani tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.

Namun, hasrat pengurus Arsenal untuk membawa pulang Thierry Henry ke Emirates dilihat sedikit pudar selepas kelabnya enggan melepaskan semasa cuti musim sejuk ini.

Pengarah bola sepak New York Red Bulls, Andy Roxboroug belum memutuskan untuk melepaskan penyerang berusia 35 tahun itu namun bersedia untuk membuka pintu rundingan untuk bekas penyerang The Gunners itu.

“Ia mungkin sesuatu yang boleh membantu. Namun, ada pemain kami telah cedera dan mereka perlu kembali dalam arena kompetitif,” kata Andy Roxboroug kepada New York Post ketika ditanya mengenai kepulangan Henry ke Arsenal.

“Ia mungkin terjadi. Tetapi ia bergantung kepada individu. Ia bergantung pada keadaan. Tetapi ianya tidak akan berlaku sekarang,” kata pengarah bola sepak Red Bulls lagi.

Sementara itu, Olivier Giroud mengakui dirinya tidak sabar menantikan kehadiran penyerang lagenda Arsenal, Thierry Henry pada jendela perpindahan Januari nanti. Giroud turut teruja untuk beraksi dengan pemain idolanya itu.

“Henry meninggalkan semangatnya di Liga Perdana Inggeris,” kata Olivier Giroud kepada akhbar Perancis, L’Equipe.

“Tetapi dia memberitahu saya kemungkinan dia akan kembali. Ia sesuatu yang sangat mengembirakan dapat beraksi bersama-samanya.”

“Saya masih cuba untuk mempertingkatkan lagi prestasi. Saya cuba untuk bersabar dan bekerja keras.”

“Apabila tiba di kelab baru, kebanyakan pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Sekalipun, Thierry Henry yang berpengalaman juga memerlukan masa untuk menyerlah.”

“Saya sangat sukakan kehidupan di kota ini (London), ia sangat esentrik dan kosmopolitan. Terlalu banyak perkara menarik di sini dan anda tidak pernah berasa bosan di sini,” kata penyerang berusia 26 tahun itu lagi.

This entry was posted in Buletin and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply