[BULETIN] EMMANUEL FRIMPONG DIBENARKAN MEWAKILI GHANA

Arsenal U21 v Reading U21 - Barclays Premier Under-21 LeagueEmmanuel Frimpong telah diberi lampu hijau oleh FIFA untuk mewakili Ghana dan membantu mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. Minggu ini, FIFA mengesakan bahawa Jawatankuasa Status Pemain FIFA telah meluluskan pertukaran kelayakan Frimpong daripada mewakili England untuk beraksi bersama Ghana. Pemain tengah Arsenal berusia 20 tahun itu kini dipinjamkan ke kelab Liga Kejuaraan, Charlton Athletic.

Frimpong merupakan pemain kelahiran Kumasi, Ghana namun keluarganya telah berpindah ke Tottenham, England ketika dirinya berusia 4 tahun dan telah memiliki kerakyatan British. Malah, pemain muda Arsenal ini pernah mewakili skuad kebangsaan England B-16 dan England B-17 namun dia akhirnya mengesahkan hasratnya untuk mewakili Ghana sejak 2 tahun yang lalu.

“Saya sentiasa katakan, tidak peduli apa yang berlaku saya sentiasa mahu bermain untuk Ghana kerana saya percaya saya seorang rakyat Ghana,” kata Emmanuel Frimpong.

Emmanuel Frimpong menyertai akademi bola sepak Arsenal di Hale End ketika berusia 9 tahun dan merupakan rakan sepelatih kepada Jack Wilshere. Bersama skuad remaja Arsenal, Frimpong berjaya menjulang 2 kejuaraan Liga Perdana Akademi (2008/09, 2009/10) dan satu Piala FA Remaja pada 2009. Sehingga kini, pemain berusia 20 tahun sudah memiliki 16 penampilan bersama skuad utama sejak memulakan debut pada 13 Ogos 2011.

This entry was posted in Buletin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply