[BOLA SEPAK] FELIPE SCOLARI TERAJUI BRAZIL DI PIALA DUNIA 2014

Skuad Brazil bakal kembali bersamba selepas Luiz Felipe Scolari yang juga dikenali sebagai ‘Big Phil’ dinamakan sebagai jurulatih skuad kebangsaan Brazil yang baru oleh Brazil Football Confederation (CBF) mengantikan Mano Menezes yang dipecat Jumaat lalu. Perlantikan Scolari bagi membimbing skuad The Selecao untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni dan menjuarai Piala Dunia 2014 di laman sendiri.

Felipe Scolari pernah membantu Brazil mengharungi zaman sukar ketika bergelut untuk melayakan diri ke Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan sekaligus membantu skuad Samba menjulang kejuaraan Piala Dunia ke-5 sepuluh tahun yang lalu. Namun, pengendali berusia 64 tahun itu sekali lagi berdepan tugas sukar untuk sekali membantu Brazil menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali ke-6.

Tekanan mula dirasai selepas Brazil gagal menyerlah dalam dua edisi terdahulu dan tewas dalam final Sukan Olimpik London 2012. Kehadiran Big Phil diharapkan mampu memberi sinar baru buat bola sepak Brazil yang kini menghuni ranking ke-13 dunia di belakang Greece dan Columbia. Presiden CBF, Jose Maria Marin mengesahkan perlantikan Scolari yang dilihat mampu memberi lebih harapan buat tuan rumah Piala Dunia 2014 ini.

“Kami melakukan penilaian dan memerlukan seseorang yang memiliki kemahiran yang terbaik, berdedikasi dan berpengalaman. Saya sangat yakin bahawa penyokong-penyokong akan gembira dengan pilihan kami,” kata Jose Maria Marin.

“Tekanan di Piala Dunia sangat hebat dan kami sangat memahaminya di mana kami memerlukan seseorang yang mampu melakukan yang terbaik.”

Felipe Scolari yang turut digelar ‘Felipao’ meletakan sasaran untuk menjadikan kejohanan Piala Konfederasi 2013 sebagai batu loncatan untuk mengembalikan The Selecao ke landasan sebenar. Selepas meninggalkan Brazil pada penghujung 2002, Scolari membimbing skuad kebangsaan Portugal dalam Kejohanan EURO 2004 dan 2008 serta Piala Dunia 2006. Selain itu, Felipao turut pernah membimbing Chelsea (2008-09), Bunyodkor (2009-2010) dan Palmeiras (2010-12).

“Ketika ini kami bukan pasukan pilihan tetapi kami berhasrat menjadikan ini sebagai pasukan ketika kejohanan (Piala Dunia 2014),” kata Luiz Felipe Scolari.

“Matlamatnya jelas iaitu memenangi Piala Dunia 2014. Saya tidak berasa tertekan. Hanya pemain yang merasai tekanannya.”

“Saya gembira dengan orang yang yakin dengan saya dan gembira berkerjasama dengan Parreira,” kata Felipe Scolari ketika mengulas mengenai perlantikan Carlos Alberto Parreira, jurulatih yang membantu Brazil menjulang Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Namun, perlantikan Felipe Scolari menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada bekas pemain-pemain skuad Samba. Zico, bekas bintang Brazil awal 1980-an menyokong perlantikan ini dan mengakui Felipao merupakan calon terbaik mengisi jawatan itu.

“Felipao (Scolari) memenangi begitu banyak gelaran dan dia perlu dihormati,” kata Zico mengulas mengenai pemilihan Scolari.

Begitupun, reaksi berbeza diluahkan oleh bekas kapten Brazil yang menjulang Piala Dunia 1970, Carlos Alberto dengan berkata : “Saya tidak tahu jika ini adalah masanya buat Felipao. Dia memenangi pada 2002 tetapi kini adalah tahun 2012. Dan tahun ini dia disingkirkan dari Palmeiras.”

This entry was posted in Bola Sepak and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply