[BERITA] WAN ZACK PEMAIN MUDA TERBAIK LIGA SINGAPURA 2012

Pemain muda negara, Wan Zack Haikal Wan Noor telah menerima pengiktirafan apabila berjaya meraih 2 anugerah dalam Malam Anugerah Great Eastern-YEO’S Liga Singapura 2012 semalam. Pemain berusia 21 tahun yang bermain selaku pemain sayap kanan dalam pasukan Harimau Muda beraksi buat pertama kali selaku pasukan jemputan dalam Liga Singapura 2012.

Wan Zack Haikal berjaya menewaskan Sho Kamimura (Albirex Niigata), Hafiz Abu Sujad (Courts Young Lions), Stefan Milojevic (Geylang United) dan rakan sepasukan Gary Steven Robbat untuk memenangi Anugerah Muda Terbaik YEO’S (YEO’S Young Player of the Year). Lebih membanggakan, Harimau Muda merupakan satu-satunya kelab yang mempunyai dua calon dalam satu kategori – Pemain Muda Terbaik iaitu Gary Robbat dan Wan Zack Haikal.

Anak jati Kuala Lumpur ini juga telah berjaya meraih anugerah Pemain Pilihan Kegemaran (YEO’S People Choice Award) di mana undian dibuat di laman Facebook S.League selama seminggu sebelum malam anugerah telah mengalahkan 12 pemain lain dengan lebih 80 peratus dari undian para peminat – kebanyakannya dari penyokong yang berasal dari Singapura.

Kejayaan ini cukup manis buat pemain berusia 21 tahun ini apabila menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dua tahun berturut-turut dalam dua liga yang berbeza. Musim lalu, Wan Zack Haikal menerima anugerah Pemain Harapan Terbaik Liga Malaysia 2011 ketika Harimau Muda masih beraksi dalam Liga Super Malaysia 2011.

“Saya ingin berterima kasih kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk memberi kami peluang bersaing di Liga Singapura, kepada pasukan saya yang telah berjuang bersama saya dan terutama sekali kepada para peminat,” kata Wan Zack setelah menerima penghargaan tersebut semalam.

“Kami akan terus berjuang sebagai satu pasukan demi mempertahankan kejuaraan Sukan SEA nanti,” tambahnya lagi.

Pemilihan Wan Zack itu dianggap tepat berdasarkan sumbangan besarnya membantu Harimau Muda menamatkan penampilan di tangga keempat daripada 13 pasukan dalam Liga Singapura 2012. Wan Zack turut memiliki pengalaman di pentas antarabangsa bersama skuad Olimpik negara serta mewakili kelab Slovakia, FC ViOn Zlate Moravce secara pinjaman tahun lalu dan menjalani latihan percubaan dengan kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu pada Julai lalu.

Malam¬†Anugerah Great Eastern-YEO’S Liga Singapura 2012 berlangsung di Institut Pendidikan Teknologi (ITE) Timur pada malam Ahad yang dihadiri wakil-wakil kelab S.League, para pemain, jurulatih dan juga para penyokong. Acara itu bagi mengiktiraf usaha mereka yang telah memberi sumbangan kepada musim S.League tahun ini serta untuk memberi penghargaan kepada para pemain, jurulatih dan pengadil yang menyerlah.

Undian dibuat oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang bola sepak seperti anggota Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), wartawan, jurulatih dan pengadil. Antara kategori-kategori yang dipertandingkan adalah: Gambar Terbaik, Berita Terbaik, Kelab Terbaik, Pemain Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak, Anugerah Fairplay, Pengadil Terbaik dan Pemain Pilihan Kegemaran.

This entry was posted in Berita and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply