[UCL] ARSENAL TEWASKAN OLYMPIAKOS DI EMIRATES

Arsenal berjaya bangkit dari kekalahan hujung minggu lalu apabila berjaya membenam cabaran juara Greece, Olympiakos 3-1 di Stadium Emirates dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Kemenangan ini mengukuhkan cengkaman The Gunners selaku pendahulu kumpulan B dengan 6 mata selepas Schalke 04 sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Montpellier. Kemenangan ini berjaya mengembalikan keyakinan skuad yang terjejas selepas mengalami kekalahan pertama musim ini.

Steve Bould yang mengalas tugas selaku pengendali Arsenal selepas Arsene Wenger mengalami pengantungan 3 perlawanan oleh UEFA. Arsenal menurunkan hampir keseluruhan skuad yang sama ketika tewas 1-2 kepada Chelsea hujung minggu lalu kecuali Abou Diaby yang diketepikan kerana kecederaan dan digantikan dengan Francis Coquelin sementara Oxlade-Chamberlain mengambil tempat Aaron Ramsey.

Arsenal bermula garang sebaik perlawanan bermula dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu juara liga Greece itu. Larian cantik Gibbs pada minit ke-11 berjaya memberikan Arsenal sepakan percuma di sebelah kanan kotak penalty Olympiakos. Sepakan terus yang dilakukan oleh Cazorla hampir memberikan Arsenal gol pendahuluan namun kecekapan penjaga Olympiakos, Magyeri berjaya menafikan percubaan tersebut.

Olympiakos turut mengancam gawang Arsenal namun percubaan Mitroglou berjaya dibaca dengan baik oleh Mannone pada minit ke-30. Kealpaan benteng Arsenal nyaris mengundang padah namun Maniatis gagal menyempurnakan hantaran Machado pada minit ke-35. Gervinho akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan gol apabila melakukan sepakan leret dari luar kotak penalti pada minit ke-42 selepas menerima hantaran Mikel Arteta.

Jaringan tersebut tidak melunturkan semangat melawan juara liga Greece itu sebalik mereka berjaya memperoleh gol penyamaan pada masa-masa kecederaan separuh masa pertama. Kegagalan pertahanan Arsenal menghalang hantaran cantik Siovas berjaya ditanduk kemas oleh Mitroglou untuk mengikat kedudukan menuju ke bilik persalinan.

Separuh masa kedua, Arsenal tampil lebih garang dan nyaris memperolehi gol kedua namun percubaan Cazorla pada minit ke-50 sedikit tersasar. Arsenal akhirnya berjaya memperolehi gol kedua menerusi rembatan kencang Podolski yang gagal dihalang oleh penjaga gol Olympiakos selepas menerima umpanan dari Gervinho pada minit ke-56. Koscielny hampir memberikan gol ketiga untuk Arsenal namun tandukannya pada minit ke-62 gagal menemui sasaran.

Selesa dengan kedudukan itu, Arsenal mengeluarkan Lukas Podolski dan Gervinho yang digantikan oleh Aaron Ramsey dan Olivier Giroud pada minit ke-80. Kemasukan Giroud berjaya memberi tenaga baru untuk Arsenal dan hampir menemui sentuhan gol pada minit ke-83 selepas bijak menerima hantaran Walcott namun percubaannya tepat kedakapan penjaga gol Olympiakos.

Giroud sekali memiliki peluang untuk mencatat nama selaku penjaring gol namun rembatan kencangnya terkena badan pertahanan Olympiakos pada minit ke-88. Aaron Ramsey akhirnya berjaya menemui sentuhan gol pada masa-masa kecederaan. Bermula dari hantaran jauh yang ditanduk oleh Giroud singgah tepat di kaki Ramsey yang bijak melakukan larian sebelum melakukan chip cantik menewaskan penjaga gol Olympiakos, Magyeri.

MAN OF THE MATCH : GERVINHO

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply