[PIALA MALAYSIA] KELANTAN DAN ATM BERENTAP DI FINAL

Juara Liga Super dan Piala FA 2012, Kelantan semakin hampir untuk memburu kejuaraan trebel musim ini apabila mengenepikan cabaran Selangor di separuh akhir Piala Malaysia dengan aggregat 3-0 semalam. Terdahulu, ATM turut menempah slot ke akhir apabila menumpaskan pasukan jemputan dari Liga Singapura, Young Lion XII dalam perlawanan penuh dramatik yang berlarutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

SELANGOR vs KELANTAN РStadium Shah  Alam

Red Giant turun dengan semangat juang yang tinggi bagi menjayakan Misi 33 di Stadium Shah Alam sementara Kelantan pula membawa bekalan 1-0 dari Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada perlawanan separuh akhir pertama. Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengekalkan kesebelasan utama yang beraksi cemerlang Kota Bharu pada 6 Oktober lalu.

Manakala pengendali Selangor, Irfan Bakti melakukan sedikit perubahan dengan memasukkan Razman Roslan bagi mengantikan Nasriq Baharom yang digantung kerana menerima kad merah sementara Rozaimi Abdul Rahman pula mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Fitri Syazwan yang terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan Sabtu lalu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Selangor memulakan aksi dengan menyakinkan dihadapan kira-kira 50,000 penonton apabila mengasak kubu Kelantan sebaik wisel permulaan dibunyikan bagi memadam defisit awal menerusi percubaan kapten pasukan, Safiq Rahim namun rembatannya tersasar. Kelantan yang melakukan serangan balas namun penjaga gol Selangor, Norazlan Razali berjaya menepis tandukan peyerang import Lubnan, Mohamad Ghaddar pada minit ke-12.

Indra Putra pula hampir membuka tirai jaringan namun penjaga gol Selangor sekali lagi cemerlang menafikan percubaan tersebut. Indra Putra sekali lagi terus hampa apabila percubaannya tersasar selepas menerima umpanan cantik daripada gerakan solo Norfarhan Mohammad di dalam kotak penalti. Ghaddar kembali mempamerkan kecemerlangan  pada minit ke-38 namun percubaan dari jarak jauhnya dinafikan kecekapan Norazlan.

Tersentak dengan asakan pasukan pelawat, Selangor kembali bangkit menyusun serangan namun masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan Red Warriors. Peluang terbaik Selangor hadir menerusi rembatan padu penyerang import, Bosko Balaban pada minit ke-44 namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Sebaik separuh masa kedua bermula, Balaban hampir menghukum kesilapan pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri dengan melepaskan rembatan kencang namun Khairul Fahmi cemerlang menyelamatkan keadaan. Ghaddar sekali lagi menguji gawang Selangor selepas menerima hantaran Nurul Azwan Roya namun berjaya dihalang oleh Norazlan pada minit ke-67. Kelantan akhirnya berjaya memperoleh gol menerusi larisan solo Ghaddar yang mengatasi 3 pertahanan Selangor sebelum bijak melakukan lambungan menewaskan Norazlan pada minit ke-84.

Selangor terus dirundung malang apabila Bosko Balaban diperintahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari pertahanan Kelantan, Obina Nwaneri di penghujung perlawanan. Red Warrior akhirnya melengkapkan malam gemilang apabila pemain gantian, Badri Radzi berjaya menjaringkan gol kedua pada masa-masa kecederaan menerusi sepakan percuma. Kelantan mara ke final dengan dengan aggregat 3-0 untuk bertemu ATM.

ATM vs YOUNG LIONS XII – Stadium Majlis Perbandaran Selayang

Juara Liga Perdana 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meranapkan impian Young Lions XII untuk mara ke final Piala Malaysia 2012 apabila mencatatkan kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sama secara aggregat selepas tamat masa tambahan.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar, Singapura tampil penuh garang sebaik perlawanan dimulakan namun ATM lebih banyak menguasai perlawanan dengan memperolehi 3 peluang keemasan tetapi gagal dimanfaatkan jentera serangan juara Liga Perdana itu.

Wakil dari Singapura itu sebaliknya mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pemain naturalisasi, Agu Casmir pada minit ke-27 menewaskan penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun selepas menerima hantaran kapten pasukan, Shahril Ishak. Penyerang ATM, Aidil Zafuan turut melakukan dua percubaan namun dinafikan oleh kecekapan penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.

Bersambung babak kedua, ATM terus mengasak kubu lawan namun masih gagal membolosi gawang Young Lions XII sehinggalah penjaring terbanyak Piala Malaysia, Marlon Alex James menanduk masuk hantaran Aidil Zafuan pada masa-sama kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan terus buntu menambah gol pada masa tambahan dan akhirnya terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. ATM bakal membuat perhitungan dengan Kelantan di Stadium Shah Alam pada 20 Okotber nanti.

Incoming search terms:

  • rozaimi abdul rahman
  • safiq rahim
This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply