[PIALA MALAYSIA] KELANTAN, ATM BAKAL TENTUKAN JUARA

Kelantan bakal membuat perhitungan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan mana yang berhak menjulang Piala Malaysia musim ini. Kedua-dua seteru berjaya menewaskan lawan masing-masing sebelum menempah tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2012. Terdahulu, ATM berjaya menyingkir pasukan jemputan dari Singapura, Young Lion XII dalam penentuan sepakan penalti 5-4 manakala Kelantan gah menyingkirkan bekas juara 32 kali, Selangor di separuh akhir hujung minggu lalu.

Pertembungan buku bertemu ruas pastinya menjanjikan perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan dengan Kelantan bersemangat melengkapkan koleksi kejuaraan untuk menamatkan musim gemilang menjulang trebel musim ini manakala juara Liga Perdana 2012, ATM pula ingin menamatkan penantian 46 tahun selepas dikecewakan Selangor 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1966.

Juara Liga Super dan Piala FA 2012, Kelantan dan ATM beraksi bersama-sama dalam kumpulan B menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum Red Warrior berjaya menumpaskan Gladiator 4-3 dalam perlawanan mendebarkan di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu. Kapten ATM, Hairuddin Omar pula bakal melakar sejarah apabila beraksi di perlawanan akhir ke-4 berturut-turut dengan 3 pasukan berbeza.

PERCATURAN KELANTAN

Jurulatih Red Warrior, Bojan Hodak bakal kehilangan dua ayam tambatan, Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Muhammad yang menjalani hukuman pengantungan kerana menerima kad kuning kedua ketika perlawanan separuh akhir di Stadium Shah Alam minggu lalu. Namun ini dijangka tidak menjejaskan rentak permainan pasukan Kelantan yang memiliki kekuatan yang hampir setara antara pemain utama dan pemain simpanan.

Kelantan pastinya meletak harapan tinggi kepada Norshahrul Idlan Talaha yang bakal bergandingan dengan penyerang muda, Afiq Azmi. Ketiadaan penyerang import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Muhammad akan membuka lebih ruang untuk Norshahrul Idlan lebih aktif dalam perlawanan malam ini selepas gagal menyerlah sebelum ini ekoran sering dibayangi oleh kehebatan Ghaddar dan Norfarhan.

Kapten Kelantan, Badhri Radzi yang pulih dari kecederaan kembali mengisi bahagian tengah bersama Shakir Ali bagi mengekang gerakan-gerakan yang bakal direncana daripada Bruno Sebastian Martelotto dan Rezal Zambry Yahya. Sementara Nurul Azwa Roya pula mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Norfarhan Muhammad untuk mencipta gerakan di bahagian sayap kiri manakala Indra Putra pula bakal beraksi di posisi sayap kanan.

S. Subramaniam dan Obinna Nwaneri pula bakal mengemudi benteng pertahanan Red Warrior bagi mengekang asakan-asakan daripada gandingan penyerang-penyerang ATM yang diketuai penjaring terbanyak Piala Malaysia 2012, Marlon Alex James. Di bahagian sayap pula Daudsu ditugaskan untuk mengekang setiap gerakan oleh pemain sayap ATM, Christie Jayaseelan manakala Nik Shahrul Azmi pula akan berperanan mengekang gerakan Zaquan Adha.

PERANCANGAN ATM

Pengendali ATM, B. Sathianathan pula turut kehilangan pemain bek kanan, Irwan Fadzli Idrus yang digantung kerana menerima kad kuning kedua namun kekosongan itu diisi oleh K. Rueben manakala Amirizwan Taj Tajuddin akan bergandingan bersama Aidil Zafuan selaku pertahanan tengah untuk menyekat serangan Kelantan yang diterajui oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Afiq Azmi serta Indra Putra Mahayuddin.

Bahagian tengah bakal digerakkan oleh Bruno Martelotto dan Rezal Zambry bagi mencipta gerakan buat Christie Jayaseelan, Zaquan Adha dan Hairuddin Omar manakala penyerang dari Saint Vincent and Grenedines, Marlon Alex James pula bertindak selaku center foward yang akan menjadi targetman bagi merobek gawang Kelantan yang dikemudi oleh penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Perlawanan dijangka akan bermula perlahan dengan kedua-dua pasukan akan mengamalkan corak berhati-hati serta cuba menyesuaikan diri dengan rentak permainan sepanjang 20 minit pertama. Kedua-dua pasukan memiliki kekuatan yang seimbang di kesemua. Jaringan gol awal pasti akan mengubah tempo perlawanan untuk kembali rancak dan terbuka.

Gerakan serangan ATM pula dijangka akan bermula di bahagian sayap dengan Christie Jayaseelan dan Zaquan Adha akan lebih banyak melakukan hantaran bola tinggi kerana Marlon Alex James dan Hairuddin Omar sememangnya memiliki kelebihan menerusi tandukan. Bruno Martelotto dan Rezal Zambry pula memiliki keupayaan melakukan percubaan jarak jauh untuk menguji ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan pula akan kurang melakukan hantaran bola tinggi ekoran ketiadaan Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Muhammad dengan lebih banyak mencipta serangan menerusi hantaran-hantaran pendek. Kelincahan Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin pula bakal mengucar-kacirkan pertahanan ATM sementara Shakir Ali dan Badhri Radzi pula memiliki kelebihan menghasilkan jaringan menerusi set piece dan percubaan jarak jauh.

BARISAN KEMUNGKINAN

Jurulatih Kelantan : Bojan Hodak

Senarai Pemain (4-4-2) : Khairul Fahmi (19), Nik Shahrul Azim (5), Obinna Nwaneri (4), S. Subramaniam (3), Daudsu Jamaluddin (15), Shakir Shaari (8), Mohd Badri Radzi (16), Nurul Azwan Roya (12), Indra Putra Mahayuddin (13), Norshahrul Idlan Talaha (9), Afiq Azmi (35).

Jurulatih ATM : B. Sathianathan

Senarai Pemain (4-2-3-1) : Farizal Harun (22), K. Reuben (2), Aidil Zafuan (7), Amirizwan Taj Tajuddin (24), Mohamad Azmi Muslim (14), Rezal Zambery Yahya (23), Hairuddin Omar (20), Zaquan Adha (8), Bruno Martelotto (10), D. Christie Jayaseelan (19), Marlon Alex James (9).

Incoming search terms:

  • badri radzi
This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply