[PERSPEKTIF] AARON RAMSEY BUKAN LAGI KAPTEN WALES

Pengurus skuad kebangsaan Wales, Chris Coleman mengesahkan Aaron Ramsey tidak lagi menjadi kapten dan bakal digantikan dengan pertahanan Swansea, Ashley Williams. Prestasi buruk yang dipamerkan oleh Ramsey terutama ketika menentang Serbia semasa kelayakan Piala Dunia 2014 bulan lalu menjadi isu yang menyebabkan pemain berusia 21 tahun dilucutkan jawatan selaku kapten skuad kebangsaan Wales.

Aaron Ramsey mula mengalas tugas sebagai kapten semasa Wales dibimbing oleh Gary Speed pada Mac 2011 sekaligus menjadikan dirinya sebagai kapten termuda skuad kebangsaan Wales dalam sejarah ketika berusia 2o tahun 90 hari meskipun baru memiliki 11 cap bersama Wales ketika itu.

Pemain kelahiran Caerphilly itu memulakan tugasnya dengan baik meskipun Wales tewas 0-2 kepada England dalam perlawanan kelayakan EURO 2012 pada 27 Mac 2011. Pemain tengah itu berjaya membimbing Wales memenangi 5 perlawanan dan tewas 7 kali sepanjang menjadi kapten skuad kebangsaan Wales.

“Saya mahu dia (Ramsey) melepaskan tekanan itu,” kata Coleman kepada sidang media semalam.

“Kami perlu melakukan perubahan yang besar dan ini yang perlu saya lakukan.”

“Ini bukannya satu keputusan yang mudah. Sudah tentu dia sangat kecewa. Saya telah bercakap dengannya dan dia mempamerkan kematangan tentang ini. Dan jujurnya ini sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan yang dihadapinya.”

“Saya sangat kagum dengan apa yang diperkatakan dan reaksinya. Dia sangat professional,” kata Coleman lagi.

Sementara itu, pengurus Arsenal berharap agar keputusan tidak akan memberi kesan besar kepada Ramsey dan percaya pemain tengah Arsenal itu akan kembali ke prestasi sebenarnya. Wenger mengakui Ramsey dihimpit pelbagai tekanan yang menganggu prestasinya sejak kembali dari kecederaan.

“Satu keputusan sukar untuk mengambil lilitan kapten. Dia (Ramsey) terlalu muda untuk mengalas tanggungjawap yang besar itu,” kata Arsene Wenger.

“Saya membiarkan pengurus itu berbincang dengan Aaron (Ramsey) sebelum membuat keputusan. Saya rasa dia akan menjadi kapten, pastinya. Tetapi masih terlalu awal,” kata Wenger lagi.

This entry was posted in Buletin and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply