[PERSAHABATAN] MALAYSIA TAMATKAN KEMARAU KEMENANGAN DI TEMPAT LAWAN

Malaysia akhirnya berjaya menamatkan badi kemarau kemenangan di tempat lawan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa selepas garang menundukan Hong Kong 3-0 di Stadium Mong Kok semalam. Kali terakhir Malaysia memenangi perlawanan dalam perlawanan persahabatan di tempat lawan ketika di bawah kendalian Norizan Bakar menewaskan Sri Lanka 4-1 pada 24 Mac 2007 di Colombo.

Sementara itu, Safee Sali yang cemerlang sepanjang perlawanan turut menyumbang satu gol sekaligus menamat kemarau golnya bersama skuad kebangsaan sejak hujung tahun lalu. Kemenangan ini pastinya meredakan tekanan dihadapi pengendali, Datuk K. Rajagobal yang mengharapkan keputusan baik untuk menyuntik semangat pemain selepas kekalahan 0-2 di tangan Vietnam bulan lalu menjelang saingan Piala AFF 2012 Disember ini.

Barisan pertahanan pula dikemudi oleh Mohd. Faizal Muhammad dan Mohd. Fadhli Shas bersama Mahali Jasuli selaku bek kanan dan Muhammad Azmi Muslim di posisi bek kiri. Sementara itu, S. Kunalan dan Baddrol Baktiar pula beraksi baik di posisi sayap menghidupkan serangan buat gandingan penyerang, Azzamudin Akil dan Safee Sali.

Disaksikan lebih 3,000 penonton di Stadium Mongkok, aksi di awal permainan agak hambar dengan Hong Kong lebih selesa menguasai bola ketika skuad negara masih tercari-cari rentak. Ketiadaan Safiq tampak memberi kesan kepada jentera tengah negara apabila Gary Steven Robbart dan Amar Rohidan seakan-akan ketandusan idea untuk mengatur gerakan.

Harimau Malaya kembali bernyawa selepas 2o minit perlawanan apabila rembatan Safee Sali dari jarak 30 meter berjaya menguji penjaga gol Hong Kong, Yapp Fung Fai. Pemain sayap lincah, S. Kunalan yang berjaya mengelecek dua pertahanan tuan rumah namun rembatannya berjaya diselamatkan oleh Hung Fai.

Kapten kebangsaan, Safee Sali terus hampa apabila percubaanya pada minit ke-37 sekadar menggegar palang manakala penyudah Baddrol Bakhtiar pula ternyata lemah apabila rembatan leretnya lima minit sebelum rehat tidak cukup mampu menembusi gawang Hong Kong.

Sekembalikan dari rehat, skuad negara hampir mendahului namun tandukan Fadhli Shas berjaya dikeluarkan pertahanan Hong Kong di atas garisan gol pada minit ke-50. Seminit berselang, perlawanan tiba-tiba menjadi tegang ekoran tindak balas penjaga gol Hong Kong menolak Safee Sali yang berang dengan asakan keras penyerang Pelita Jaya itu ke atas dirinya.

Safee Sali akhirnya berjaya menceriakan penyokong-penyokong Malaysia apabila cemerlang menyudahkan hantaran pendek S. Kunalan menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-59 berjaya menggegar gawang lawan. Meskipun Hong Kong cuba bangkit, namun beberapa percubaan tuan rumah berjaya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.

Kemasukan Safiq Rahim menggantikan Gary Steven Robart pada minit ke-74 membuahkan hasil apabila pakar sepakan percuma itu menyempurnakan sepakan percuma di hadapan kotak penalti pada minit ke-82. Safiq Rahim sekali lagi bijak mencipta gerakan gol ketiga apabila sepakan percumanya pada masa kecederaan gagal ditangkap kemas Hung Fai yang pantas disambar Fakri untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Malaysia akan mengadakan tiga lagi perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala AFF, bulan depan dengan menentang Vietnam di Hanoi pada 3 November, Thailand di Chiang Mai (7 November) dan Hong Kong di Shah Alam (14 November).

Incoming search terms:

  • safee sali
This entry was posted in Perlawanan and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply