[PERPINDAHAN] JOHAN DJOUROU MAHU TINGGALKAN ARSENAL

Johan Djourou sekali lagi menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Arsenal selepas menjadi pilihan keempat Arsène Wenger selaku pertahanan tengah. Dengan persembahan mantap yang dipamerkan oleh Thomas Vermaelen, Per Mertesacker dan Laurent Koscielny, menyaksikan peluang Djourou untuk bermain hanya dalam saingan Piala Liga atau jika pertahanan utama Arsenal mengalami kecederaan.

Pertahanan antarabangsa Switzerland menyertai Arsenal pada 1 Ogos 2003 ketika berusia 16 tahun dari kelab Etoile Carouge namun gagal menjadi pilihan utama Arsene Wenger. Pada musim panas lalu, Djourou berjaya menarik minat beberapa kelab termasuk Napoli.

“Ia (meninggalkan Arsenal pada musim panas akan datang) mungkin akan berlaku. Saya kini berusia 25 tahun dan jujurnya saya mahu bermain lebih lagi,” kata Johan Djourou.

“Apabila tidak dapat beraksi saya merasa sedih – tiada sesiapa pun yang tidak mahu diberi peluang selepas mereka berusaha keras. Jadi, jika kelab mahu melepaskan saya pergi, saya harus mengambil peluang ini dan mempertimbangkannya.”

Kontrak Djourou bakal tamat pada 2015 namun pertahanan tengah Arsenal terdesak untuk mendapat tempat beraksi dalam saingan yang lebih kompetatif. Pada musim 2010/11, Djourou berjaya menampilkan aksi yang baik selepas krisis kecederaan menimpa pertahanan Arsenal.

 “Tetapi apa yang boleh saya katakan bahawa kelab ini memberi peluang. Saya sudah berada di sini untuk satu tempoh yang lama dan saya sukakan tempat ini. Saya sangat menghormati kelab ini,” kata Djourou lagi.

This entry was posted in Perpindahan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply