[MOTO GP] ZULFAHMI KHAIRUDDIN LAKAR SEJARAH DI SEPANG

Pelumba negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin berjaya menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekaligus melakar sejarah baru sukan lumba motosikal negara apabila menduduki tempat kedua semalam dalam saingan Moto3. Jika tidak kerana kesilapan pada dua selekoh terakhir, pastinya pelumba berusia 21 tahun ini muncul juara di hadapan 77,000 penyokong-penyokong tempatan.

Pelumba Air Asia SIC Ajo ini mencatatkan 40 minit 54.151 saat dibelakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Sandro Cortese yang mencatatkan masa 40:54.123s manakala Jonas Folger meraih kedudukan ketiga dengan catatan 40:54.370s. Terdahulu, Sandro Cortese berjaya mengesahkan kejuaraan dunia bagi saingan Moto3 tahun ini dengan pungutan 280 mata keseluruhan.

Dalam perlumbaan semalam, Zulfahmi memulakan perlumbaan di petak pertama namun berjaya dipintas oleh Jonas Folger seawal pusingan pertama yang memimpin perlumbaan sehingga ke pertengahan saingan. Namun, di pusingan ke-11, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu berjaya memotong Folger sehingga ke pusingan terakhir, Cortese berjaya  memanfaatkan kesilapannya pada dua selekoh terakhir menuju ke garisan penamat.

“Saya melakukan kesilapan di dua selekoh terakhir itu dan ia membenarkan Cortese untuk memintas saya,” kata Zulfahmi Khairuddin selepas perlawanan semalam.

“Saya cuba untuk berada semula di depan pada selekoh terakhir tapi saya terlewat menekan brek. Kami bergesel sedikit dan saya kemudian memutuskan tempat kedua lebih baik daripada terjatuh.”

“Apapun, saya memang percaya sebelum perlumbaan, peluang untuk menaiki podium agak cerah kerana jentera saya berada dalam keadaan terbaik. Kedudukan kedua itu sudah cukup baik tapi saya percaya kemenangan akan hadir tidak lama lagi.”

“Terima kasih juga kepada semua penyokong yang hadir di Sepang,” kata Zulfahmi yang turut menyambut hari jadi kelmarin.

Sementara itu, Sandro Cortese yang sudahpun dinobatkan selaku juara dunia Moto3 mengakui berada sedikit sedih kerana terpaksa merosakkan kegembiraan pelumba negara, Zulfahmi dalam perlumbaan semalam.

“Selepas memenangi perlumbaan itu, saya memang berasa sedih kerana tidak membenarkan Fahmi memenangi perlumbaan di tempatnya sendiri. Jadi, saya mahu memohon maaf kepada Fahmi,” kata Cortese di sidang media yang semalam.

“Kemenangan hari ini memberikan saya lebih keyakinan untuk menghadapi baki dua perlumbaan (musim ini). Saya pasti kami boleh menyinar di Australia dan Valencia,” kata pelumba kelahiran Jerman itu.

Incoming search terms:

  • zulfahmi khairuddin
This entry was posted in Permotoran and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply