[KOMENTAR] 10 FAKTA MENARIK MENGENAI RADAMEL FALCAO

Pemain antarabangsa Colombia, Radamel Falcao merupakan pemain yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Inggeris termasuk Arsenal, Chelsea, Manchester City, dan Spurs. Kecemerlangan pemain ini mula menjadi perhatian apabila meledak hatrik ketika membantu Atletico Madrid menewaskan Chelsea 4-1 dalam Piala Super Eropah 2012 pada 31 Ogos yang lalu.

Falcao dilahirkan di Santa Marta, Colombia pada 10 Februari 1986 dan merupakan antara penyerang terbaik dunia ketika ini setanding dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo seperti yang diakui oleh bekas pengurus England, Fabio Capello. Malah Raja Sepanyol, Juan Carlos I dan bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola mengakui Falcao merupakan pemain sensasi yang memiliki bakat yang luar biasa. Berikut merupakan 10 fakta menarik mengenai Radamel Falcao.

1-NAMA GELARAN FALCAO

Seperti kebanyakan pemain-pemain Amerika Selatan yang memiliki nama yang panjang, Radamel Falcao García Zárate merupakan nama penuh kepada penyerang Atletico Madrid ini. Falcao turut memiliki nama gelaran tersendiri iaitu El Tigre (Si Harimau) dan King of Europa League.

2-GENERASI KEDUA BOLA SEPAK

Bapa Radamel Falcao, Radamel Garcia merupakan seorang pemain pertahanan yang beraksi dalam Liga Columbia pada era 1980-an. Namun, Falcao memilih haluan berbeza dan beraksi selaku pemain penyerang sepanjang karier selaku pemain bola sepak professional yang sentiasa dahagakan jaringan.

3-INSPIRASI DARI SEORANG LAGENDA

Nama Falcao diinspirasikan daripada nama bekas pemain tengah Brazil yang mengukir nama bersama AS Roma, Paulo Roberto Falcao yang juga merupakan pemain kegemaran bapa Falcao. Pemain kelahiran Brazil itu pernah beraksi bersama Internacional, AS Roma dan Sao Paulo dengan menjaringkan 43 gol sepanjang karier bola sepaknya.

4-KARIER AWAL BERSAMA RIVER PLATE

Pemain antarabangsa Colombia ini memulakan karier bersama akademi remaja River Plate sebelum mendapat debutnya dengan menjaringkan 2 gol bersama skuad senior River Plate pada 2005 ketika berusia 19 tahun. Falcao telah menjaringkan 34 gol dalam 90 perlawanan sepanjang 4 musim bersama kelab Argentina itu.

5-BERCITA-CITA MENJADI SEORANG WARTAWAN

Sebelum ditawarkan kontrak bersama River Plate, Falcao telah mendaftar sebagai mahasiswa di University of Palermo, Buenos Aires dengan mengambil kursus kewartawanan. Namun, hasrat itu dibatalkan setelah menerima tawaran kontrak professional daripada River Plate. Jika Falcao tidak menerima tawaran kontrak tersebut, pastinya hari ini dia merupakan seorang wartawan sukan dan dunia akan kehilangan seorang permata dalam bola sepak.

6-PENGEMPUR BERBISA FC PORTO

Radamel Falcao menyertai kelab Portugal, FC Porto pada 15 Julai 2009 dengan bayaran perpindahan bernilai €3.9 juta. Dia mencatatkan rekod jaringan yang konsisten sepanjang beraksi di Estadio do Dragao dengan menjaringkan 34 gol pada musim pertamanya. Penyerang berketinggian 5 kaki 9 inci ini telah menjaringkan 72 gol dalam 50 perlawanan sepanjang 2 musim bersama FC Porto.

7-NAMA YANG SAMA DENGAN PEMAIN FUTSAL TERBAIK DUNIA

Pemain kelahiran Colombia ini memiliki nama yang sama dengan pemain futsal terbaik dunia dari Brazil, Falcao atau nama sebenarnya Alessandro Rosa Vieira. Bersama skuad futsal Samba, Falcao telah menjaringkan hampir 300 gol dalam kejohanan antarabangsa setakat ini.

8-RAJA LIGA EUROPA

Radamel Falcao turut digelar King of Europa League apabila mencipta sejarah menjadi pemain pertama yang berjaya memenangi Liga Europa dua tahun berturut-turut bersama dua pasukan berbeza. Pada musim 2010/11, Falcao berjaya menjaringkan gol kemenangan FC Porto 1-0 ke atas Braga dan turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak dengan 17 gol. Radamel Falcao sekali lagi cemerlang membantu kelab Sepanyol, Atletico Madrid dengan menjaringkan 2 gol dalam perlawanan akhir menewaskan Athletic Bilbao 3-0 dan turut mengulangi pencapaian selaku penjaring terbanyak dengan 12 gol.

9-REKOD JURGEN KLINSMANN DILEBURKAN

Dalam saingan Piala Europa 2010/11, Falcao menjaringkan 17 gol sepanjang kejohanan termasuk dua gol dalam perlawanan akhir membantu FC Porto menjulang kejuaraan Liga Europa sekaligus berjaya meleburkan rekod yang dimiliki oleh lagenda bola sepak Jerman, Jurgen Klinsmann selaku penjaring terbanyak Liga Europa dalam semusim. Klinssmann berjaya mencatatkan 15 gol pada musim 1995/96 dan membantu Bayern Munich menjulang kejuaraan Liga Europa.

10-RADAMEL FALCAO BUKAN UNTUK DIJUAL

Meskipun, Atletico Madrid menegaskan tidak mahu melepaskan penyerang prolifiknya itu namun berdasarkan krisis kewangan yang melanda Sepanyol dan trend kelab-kelab La Liga menjual pemain-pemain untuk mendapatkan dana, jadi kemungkinan besar Falcao akan dijual pada jendela perpindahan akan datang. Tambahan pula, Atletico Madrid pernah menjual pemain-pemain utama seperti Fernando Torres, Sergio Aguero dan Diego Forlan sebelum ini.

Dan jika Falcao mengambil keputusan meninggalkan Atletico Madrid, dia perlu membayar klausa pembelian bernilai €30 juta kepada kelab lamanya, FC Porto di mana dia masih memiliki kontrak berbaki 2 tahun lagi.

This entry was posted in Komentar and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply