[KECEDERAAN] THEO WALCOTT TERPAKSA DIKEJARKAN KE HOSPITAL

Theo Walcott mengalami kecederaan semasa beraksi bersama skuad kebangsaan England dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 kumpulan H menentang San Marino di Stadium Wembley, London awal pagi tadi waktu Malaysia. Pemain berusia 23 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-5 dan digantikan dengan pemain Tottenham Hotspurs, Aaron Leanon.

Walcott itu terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan sakit di rusuk kiri serta batuk berdarah bagi melakukan imbasan lanjut selepas berlanggar dengan penjaga gol San Marino, Aldo Junior Simoncini. Sementara itu, masih belum ada laporan rasmi mengenai tahap kecederaan pemain sayap Arsenal itu. Pengurus England, Roy Hodgson menyelar corak permainan kasar dan melulu yang dipamerkan oleh San Marino sepanjang perlawanan.

“Saya rasa ia boleh dikatakan sebagai tindakan melulu. Ia merupakan satu cabaran yang kasar (oleh Simoncini),” kata Hodgson mengulas mengenai kecederaan yang dialami oleh Walcott.

“Saya tidak percaya tiada niat jahat ketika Walcott cuba untuk mengambil bola itu dan menerima satu asakan kasar di mana Theo terpaksa dikejarkan ke hospital. Kini kami terpaksa menunggu perkembangannya (Walcott).”

Roy Hodgson turut kecewa kerana pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada England dan melayangkan kad kepada penjaga gol San Marino ekoran kekasaran tersebut.

“Apabila penjaga gol melakukannya saya rasa dia bernasib baik kerana masih berada di atas padang dan kami tidak diberikan sepakan penalti,” kata pengurus England itu lagi.

Sementara itu, seorang lagi pemain muda Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain turut menyumbang satu gol pada minit ke-77 ketika membantu England mencatatkan kemenangan selesa 5-0 sekaligus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan H. Duo penyerang Manchester United, Danny Welbeck dan Wayne Rooney masing-masing menyumbang 2 gol.

This entry was posted in Kecederaan and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply