[EPL] ARSENAL BERKUNJUNG KE UPTON PARK

West Ham United menanti kunjungan Arsenal yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Olympiakos 3-1 di Emirates Khamis lalu. Meskipun The Hammers cemerlang dalam 6 perlawanan liga dengan mencatatkan 3 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan setakat ini namun berdepan tugas sukar menentang Arsenal di Upton Park. Arsenal pastinya turut penuh semangat untuk meraih tiga mata bagi menghambat kedudukan Chelsea yang gah di persada liga dengan perbezaan 7 mata selepas 6 perlawanan.

Arsene Wenger akan terus menggunakan khidmat Vito Mannone bagi mengawal gawang The Gunners. Per Mertesacker yang pulih dari jangkitan virus bakal diturunkan bagi bergandingan bersama Thomas Vermaelen selaku pertahanan tengah. Posisi bek kanan dan bek kiri kekal menjadi milik dua pemain muda berbakat Arsenal, Kieran Gibbs dan Carl Jenkinson yang mempamerkan prestasi mantap setakat ini.

Francis Coquelin yang diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Olympiakos sekali lagi akan digandingan bersama Mikel Arsenal bagi mengemudi bahagian tengah Arsenal sementara Santi Cazorla akan terus bertindak selaku attacking midfielder bagi mencipta gerakan-gerakan menarik buat rangkaian penyerang The Gunners. Gervinho dan Lukas Podolski akan beraksi di posisi sayap kiri sementara Olivier Giroud akan kembali diturunkan dalam kesebelasan utama selaku center foward.

Sementara itu, Sam Allardyce bakal mendapatkan kembali khidmat penyerang antarabangsa England, Andy Caroll dan pemain pertahanan, Winston Reid namun pemain bek kiri, Joey O’Brien terpaksa diketepikan selepas belum pulih dari kecederaan hamstring. Kelibat Jack Collison dan Alou Diarra akan disisihkan untuk tempoh masa yang lebih lama ekoran mengalami kecederaan.

Jussi Jaaskelainen akan diberi tugas selaku benteng terakhir The Hammers sementara Guy Demel, James Collins, Winston Reid dan George McCartney bakal mengisi barisan pertahanan The Hammers. Mark Noble dan Mohamed Diame akan bertindak selaku deep midfielder manakala Kevin Nolan, Matt Jarvis dan Vaz Te akan mencipta gerakan serta menbuka ruang buat penyerang tunggal West Ham, Carlton Cole.

Arsenal sekali lagi bakal mengharapkan sentuhan kreatif Santi Cazorla bagi menjana serangan selepas mempamerkan prestasi mantap sejak menyertai Arsenal Ogos lalu. Mark Noble dijangka akan diberi tugas untuk merantai kelibat Cazorla daripada menjadi duri dalam daging buat West Ham. Arsenal pastinya sekali lagi akan mendominasi perlawanan ini lantaran West Ham tidak memiliki rekod ball possesion yang baik.

Sebaliknya, barisan pertahanan Arsenal sekali lagi mengundang kerisauan apabila dibolosi dalam 6 perlawanan terakhir terutama menerusi set piece. Kehadiran Mertesacker dijangka mampu mengatasi masalah tersebut dalam perlawanan malam ini. Vito Mannone turut mempamerkan persembahan konsisten sejak mengalas tugas selaku penjaga gol no.1 Arsenal ekoran kecederaan yang dihadapi oleh Wojciech Szczesny.

Namun, bukan tugas mudah Arsenal untuk meraih 3 mata di Upton Park malam ini lantaran persembahan mantap yang dipamerkan oleh barisan pertahanan The Hammers musim ini. Walaupun tidak memiliki penguasaan bola yang baik namun West Ham memiliki corak permainan bertahan yang baik seperti Stoke City dengan mengharapkan gol menerusi serangan balas dan set piece.

BARISAN KEMUNGKINAN

Tarikh : 7 Oktober 2012

Waktu : 12.30 t/malam (waktu Malaysia)

Pengadil : Phil Dowd

Ramalan : West Ham United (0) vs Arsenal (2)

FAKTA MENARIK

  • Arsenal tidak pernah tewas dalam 8 perlawanan terakhir menentang West Ham dengan mencatatkan 6 kemenangan dan 2 seri. West Ham pula gagal menjaringkan dalam 3 pertemuan terakhir menentang Arsenal.
  • The Hammers tidak tewas dalam 4 perlawanan terakhir liga setakat ini. Skuad bimbingan Sam¬†Allardyce ini hanya melepas 1 gol dalam 3 perlawanan liga di laman sendiri musim ini.
  • The Gunners merupakan pasukan kedua paling sedikit dibolosi setakat ini dengan 4 gol dibelakang Chelsea yang hanya melepas 3 gol.
  • West Ham mencipta sejarah muncul pasukan pertama selepas 8 pemain dilayangkan kad kuning dalam satu perlawanan ketika menang 1-2 di Loftus Road Isnin lalu.
  • Arsenal cuma tewas sekali dalam 11 perlawanan di tempat lawan dengan mencatatkan 6 kemenangan, 4 seri dan satu kekalahan.
  • The Gunners tewas 5 daripada 10 perlawanan domestik selepas perlawanan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
  • Gervinho menjaringkan 5 gol dalam 7 perlawanan setakat ini lebih banyak berbanding musim lalu yang hanya mencatatkan 4 gol dalam 37 perlawanan dalam semua pertandingan.
This entry was posted in Pra-Perlawanan and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply