[EPL-7] ARSENAL BENAM WEST HAM UNITED DI UPTON PARK

Arsenal kembali menemui rentak kemenangan selepas dikecewakan Chelsea 1-2 di Emirates hujung minggu lalu. Jaringan oleh Olivier Giroud, Theo Walcott dan Santi Cazorla memadam jaringan awal tuan rumah oleh Mohamed Diame semalam. Kemenangan ini berjaya melonjak Arsenal kembali kedudukan ke-5 Liga Perdana Inggeris, 7 mata dibelakang pendahulu, Chelsea.

Arsene Wenger melakukan 3 pertukaran dengan dengan skuad yang menewaskan Olympiakos dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah Khamis lalu. Per Mertesacker kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama setelah pulih dari jangkitan virus sementara Aaron Ramsey masuk mengantikan Francis Coquelin yang gagal beraksi baik ketika menentang Olympiakos. Olivier Giroud kembali disenaraikan dalam skuad utama  membentuk gandingan serangan bersama Lukas Podolski, Santi Cazorla dan Gervinho.

Pengurus West Ham, Sam Allerdyce menurunkan Jussi Jaaskelainen selaku penjaga gawang dengan Demel, Reid, Collins dan McCartney membentuk gandingan di barisan pertahanan. Jentera tengah pula dikemudi oleh kapten pasukan, Noble bergandingan Diame. Sementara itu, Vaz Te, Nolan dan Jarvis pula menjadi pengerak kepada bahagian serangan yang diterajui oleh Andy Caroll.

Arsenal bermula garang dengan mengasak gawang West Ham sebaik sepak mula. Giroud terlebih dahulu menguji gawang The Hammers menerusi rembatannya pada minit ke-2 namun berjaya ditampan oleh Jaaskelainen. Hantaran lintang Jenkinson pada minit ke-18 berjaya dikeluarkan oleh pertahanan West Ham, Reid. Giroud sekali lagi mengancam kubu West Ham namun rembatannya pada minit ke-19 berjaya ditanduk keluar oleh Caroll.

Kealpaan benteng pertahanan mengundang padah apabila Mohamed Diame berjaya melepasi kawalan Jenkinson dan Ramsey sebelum melepaskan satu sepakan kencang menewaskan Mannone pada minit ke-21. West Ham hampir menambah gol kedua namun tandukan Caroll yang berpunca dari sepakan sudut berjaya dinafikan oleh Mannone pada minit ke-31. Mertesacker turut melakukan percubaan namun tandukannya pada minit ke-35 gagal menemui sasaran.

Olivier Giroud akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris selepas bijak menyempurnakan hantaran lintang Podolski pada minit ke-41. Perlawanan kembali rancak dengan aksi berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan. Arsenal cemas seketika apabila tandukan Caroll berjaya ditampan oleh Nolan namun sedikit tersasar pada masa-masa kecederaan separuh masa pertama.

Sekembalinya dari rehat, Arsenal tampil lebih tersusun dengan mencipta gerakan menerusi hataran kemas. Percubaan Giroud pada minit ke-65 pula sedikit tersasar susulan daripada percubaan Theo Walcott. Olivier Giroud bijak mencipta ruang buat Theo Walcott menjaringkan gol kedua Arsenal pada minit ke-77. West Ham pula tidak mudah mengalah dan hampir menyamakan kedudukan namun rembantan Nolan pada minit ke-79 sedikit melewati palang.

Santi Cazorla yang acap kali mengucar kacirkan pertahanan West Ham menerusi percubaan jarak jauh dan umpanan akhirnya berjaya mencatat nama selaku penjaring apabila rembatan cantik kaki kirinya berjaya menewaskan Jaaskelainen pada minit ke-83. Pemain gantian, Taylor nyaris menjaringkan gol kedua West Ham namun berjaya diselamatkan oleh Mannone. Giroud sekali hampir menambah jaringan namun rembatan terkena kaki Jaaskelainen pada masa-masa kecederaan. Kedudukan 1-3 ini akhirnya kekal hingga tamat perlawanan.

ANALISIS PERLAWANAN

Percaturan Arsene Wenger menurunkan Per Mertesacker adalah tepat pada masanya. Sebagai seorang pertahanan yang memiliki aerial duel yang baik, pastinya Mertesacker adalah calon terbaik untuk mengekang asakan daripada penyerang The Hammers, Andy Caroll yang berjaya memenangi 17 daripada 25 aerial duel. Selain itu, West Ham turut mengamalkan permainan fizikal dan corak serangan dengan menggunakan hantaran-hantaran jauh.

Penguasaan bola sekali lagi menjadi milik Arsenal sebanyak 60% dengan Mikel Arteta yang beraksi di bahagian deep midfielder menjadi nadi utama di bahagian tengah dengan menghasilkan 106 hantaran sempurna daripada 111 hantaran dalam mencorakan permain Arsenal bersama Ramsey dan Cazorla. Arsenal berjaya menghasilkan lebih 500 hantaran berbanding dengan West Ham yang melakukan hantaran kurang daripada 200 sepanjang perlawanan.

Namun, kadang kala pertahanan Arsenal tampak goyah apabila diserang bertubi-tubi oleh pasukan lawan. Barisan pertahan Arsenal berjaya melakukan 19 terjahan tepat berbanding dengan 11 yang dimiliki oleh West Ham. Selain itu, West Ham turut melakukan 12 kekasaran manakala Arsenal cuma melakukan 7 kekasaran sepanjang perlawanan.

Olivier Giroud semakin menunjuk keserasian apabila bijak membaca setiap lorongan kepadanya berbanding beberapa perlawanan terdahulu. Perkembangan posistif ini turut mengembirakan pengurus Arsenal kerana Giroud turut mempamerkan ketenangan dan keyakinan diri yang semakin baik.

Kemasukan Walcott berjaya menghidupkan bahagian sayap kanan yang dilihat sedikit kurang effektif pada separuh masa kedua lantaran Gervinho yang mungkin keletihan keranan beraksi penuh dalam dua perlawanan menentang Chelsea dan Olympiakos sebelum ini. Kepantasan dan kelincahan Walcott berjaya menghadirkan gol kedua Arsenal selain beberapa kali mengucar kacirkan pertahanan lawan.

Namun paling mencuri tumpuan pastinya pemain tengah Arsenal, Santi Cazorla yang cemerlang menghasilkan satu gol cantik dan menghasilkan gerakan-gerakan kreatif sepanjang perlawanan. Meskipun Sam Allerdyce meletakkan Mark Noble untuk merantai kelibat Cazorla tetapi gagal untuk mengekang gerakan lincah pemain berusia 27 tahun ini yang menghasilkan 67 hantaran sempurna daripada 78 hantaran sepanjang perlawanan.

MAN OF THE MATCH : SANTI CAZORLA

STATISTIK PERLAWANAN

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply