[CORETAN] LIGA PERDANA INGGERIS TANPA ARSENE WENGER

Kemenangan Arsenal ke atas West Ham United semalam merupakan kemenangan ke-350 Arsene Wenger bersama Arsenal sejak membimbing The Gunners 16 tahun yang lalu. Meskipun mengharungi kemarau kejuaraan sejak 7 musim terakhir ini namun kedudukan Wenger sebagai pengurus Arsenal tidak pernah tergugat sebaliknya pengurus berusia 63 tahun ditawarkan kontrak jangka masa panjang untuk terus kekal di Emirates.

Kegagalan memenangi sebarang kejuaraan sejak 7 musim lalu di mana kali terakhir Arsenal memenangi trofi ketika menjulang Piala FA pada 2005 menjadikan Wenger sasaran kritikan peminat-peminat. Namun, kepercayaan terus diberikan oleh pengurusan Arsenal  kepada Wenger untuk terus membimbing The Gunners.

Pengurus berbangsa Perancis tampil selaku antara pengurus Arsenal yang paling berjaya sejak mengambil alih jawatan pengurus Arsenal pada 1 Oktober 1996 dengan meraih 3 gelaran Liga Perdana Inggeris, 4 Piala FA, 4 Perisai Komuniti serta kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara Eropah 2005/06 dan Piala Carling 2010/11. Selain itu, Arsene Wenger turut berjaya mengilap bakat-bakat yang tidak dikenali menjadi pemain bintang seperti Thierry Henry, Patrick Vieira, Cesc Fabregas, Robin van Persie, Mathieu Flamini, Ashley Cole, Alex Song, Freddie Ljungberg dan ramai lagi.

Arsene Wenger tampil selaku pengurus pertama yang mengendalikan perpindahan pemain dengan bijak dan tanpa perbelanjaan yang besar. Lantaran itu, Gael Clichy mengakui bahawa bekas pengurusnya itu tidak perlu membuktikan apa-apa terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya.

“Dia tidak perlu membuktikan apa-apa pun kepada orang (pengkritik). Dia banyak membawa masuk pemikiran dan membentuk pemain-pemain hebat seperti (Thierry) Henry, penyerang terbaik sepanjang beberapa tahun bersama Arsenal,” kata Clichy kepada Sports Mole baru-baru ini.

“Orang-orang mengatakan bahawa (Arsene) Wenger seharusnya meninggalkan Arsenal kerana tidak memenangi kejuaraan. Mereka tidak menyedari bahawa Arsenal berjaya menajdi pasukan ke-4 terbaik liga setiap musim dan berjaya mara ke saingan Liga Juara-Juara Eropah 15 musim berturut-turut.”

Kehadiran Wenger berjaya mewujudkan dinamika dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan memberi lebih cabaran dengan falsafah dan pemikirannya yang luar biasa terutama berkenaan dengan isu pembelian pemain. Pengurus Arsenal ini juga berjaya menyekat dominasi Alex Ferguson bersama Man United sebelum kebangkitan Chelsea dan Man City beberapa musim kebelakangan ini.

“Saya tidak apa yang akan terjadi kepada Liga Perdana Inggeris sekarang tanpa Arsene Wenger,” kata Clichy yang merupakan antara bakat-bakat besar yang digilap oleh Arsenal sebelum menyertai Manchester City pada 2011.

This entry was posted in Coretan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply