[BULETIN] KRISIS KECEDERAAN PENJAGA GOL ARSENAL

Arsene Wenger kini berdepan dengan krisis kecederaan penjaga gol selepas Lukas Fabianski terpaksa diketepikan untuk tempoh 3 bulan akan datang kerana mengalami kecederaan buku lali sementara Wojciech Szczesny pula akan terus berehat sehingga ke penghujung bulan November ini lantaran belum pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya.

Lukas Fabianski kembali dibelenggu kecederaan selepas diketepikan sejak Februari lalu kerana mengalami kecederaan bahu. Penjaga gol Poland itu mengalami masalah ligamen buku kakinya semasa sesi latihan pada Selasa lalu.

Namun, kecemerlangan penjaga gol ketiga Arsenal, Vito Mannone berjaya meredakan keresahan pengurusan dan penyokong-penyokong Arsenal serta mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wojciech Szczesny manakala penjaga gol muda, Damián Martinez, 20, dan James Shea, 21, dipanggil bagi mengisi bangku simpanan .

The Gunners bakal berkunjung ke Carrow Road menentang Norwich City awal pagi Ahad nanti waktu Malaysia sebelum menjadi tuan rumah kepada Schalke 04 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah Rabu depan.

Skuad bimbingan Arsene Wenger bakal menghabiskan perlawanan bagi bulan Oktober menentang Queen Park Rangers pada Sabtu depan sebelum kembali menentang Reading dalam saingan Piala Capital One pada 30 Oktober ini.

Sementara itu, Damián Martinez berharap dapat diberi peluang yang lebih lagi beraksi dalam skuad utama Arsenal. Penjaga berusia 20 tahun ini menyertai Arsenal pada Ogos 2010 dari kelab Argentina, Independiente. Martinez melakukan debut bersama skuad senior Arsenal ketika diturunkan dalam perlawanan Piala Capital One menentang Coventry City pada 26 September lalu.

“Liga Perdana Inggeris merupakan liga terbaik di dunia. Saya harus menyesuaikan diri sebaik mungkin dan ia sesuatu yang sangat menarik,” kata Damián Martinez kepada goal.com baru-baru ini.

“Perkara yang terbaik ialah beraksi dalam bola sepak di peringkat tertinggi dengan padang yang sempurna. Ia sesuatu yang sukar dipercayai dan saya berharap untuk terus kekal lebih lama dalam liga ini selama mungkin.”

“Saya rasa saya akan berada dibangku simpanan (menentang Norwich) tetapi saya sudah bersedia menghadapi kemungkinan jika diturunkan (dalam kesebelasan utama).”

“Saya mahu membuktikan bahawa saya mampu beraksi di peringkat tertinggi meskipun di luar batas usia. Ini merupakan keputusan pengurus dan saya sentiasa menantikan saat-saat itu.”

“Meskipun baru berusia 20 tahun, saya rasa perkembangan saya sangat baik dan saya bersedia untuk mara ke hadapan. Dan saya berharap untuk terus bermain di sini.”

Arsene Wenger sememangnya terkenal dengan polisi pembangunan pemain-pemain muda termasuk memberi kepercayaan kepada Wojciech Szczesny selaku penjaga gol no.1 Arsenal meskipun baru berusia 20 tahun. Penjaga gol kelahiran Argentina turut memuji keberanian yang dimiliki oleh Wenger dalam memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk beraksi di peringkat tertinggi.

“Wenger merupakan pengurus yang hebat, sangat professional dan sangat tegas tetapi dia sentiasa memberi kebebasan kepada pemain-pemain muda,” kata Martinez lagi.

“Dia (Wenger) melayan kami dengan sama rata. Saya sangat berminat dengan (cara) dia selaku seorang pengurus.”

“Saya sudah berada di sini untuk tempoh 3 tahun dan saya sangat gembira. Saya mahu bermain dan terus bermain di mana di sini memiliki padang yang sedikit berbeza dan bola sepak yang pantas. Tetapi tugas saya tetap sama, mempertahankan gawang daripada dibolosi,” kata penjaga gol berusia 20 tahun itu.

This entry was posted in Buletin and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply