[UEFA] ATLETICO MADRID JULANG PIALA SUPER EROPAH 2012

Juara Piala Europa, Altetico Madrid berjaya membenam Chelsea 4-1 di Stade Louis II, Monaco pada perlawanan Piala Super Eropah kelmarin. Penyerang Colombia, Radamel Falcao berjaya meledak hatrik untuk membantu Altetico Madrid membenam juara Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Ini merupakan hatrik kedua Falcao dalam masa 5 hari selepas menyumbang tiga gol ketika kelab yang berpangkalan di Madrid itu membelasah Athletic Bilbao 4-0 dalam saingan La Liga, Isnin lalu.

Kejayaan Atletico Madrid mengulangi pencapaian menewaskan Inter Milan 2-0 dua tahun lalu ketika menjulang Piala Super Eropah 2010. Atletico Madrid menguasai perlawanan pada 10 minit pertama perlawanan dengan lemancarkan serangan bertali arus ke kubu Chelsea dan nyaris memperoleh gol awal namun percubaan Falcao sekadar menggegar palang pada minit ke-3. Namun, Radalme Falcao akhirnya berjaya menemui sentuhan gol pada minit ke-7 menerusi satu percubaan menarik selepas menerima umpanan Adrian Lopez.

Chelsea turut cuba mengasak menerusi Eden Hazard pada minit ke-12 namun rembatannya tersasar. Falcao sekali cemerlang menjaringkan gol kedua Atletico Madrid setelah menerima hantaran daripada Jorge Koke sebelum melepaskan sepakan lencong kaki kiri yang melepasi jangkauan Petr Cech pada minit ke-18. Atletico Madrid nyaris menambah gol ketiga pada minit ke-35 namun tandukan Falcoa susulan selepas percubaan Adrian Lopez dinafikan oleh tiang gol.

Seminit menuju rehat, Chelsea terus parah apabila Falcao mudah menyudahkan hantaran Arda Turan untuk gol ketiga Atletico Madrid. Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo memasukkan pemain muda Brazil, Oscar pada separuh masa kedua menggantikan Ramires bagi mengukuhkan jentera tengah Chelsea yang gagal berfungsi dengan baik. Sebaliknya, Atletico Madrid terus menambah gol keempat kali ini menerusi Miranda yang menerima umpanan dari Mario Suarez

Oscar cuba menguji gawang Atletico Madrid pada minit ke-67 namun berjaya dinafikan Courtois. Chelsea akhirnya berjaya memperolehi gol saguhati menerusi Gary Cahill susulan sepakan sudut pada minit ke-74. Meskipun mendahului 4-1 Atletico terus mengasak kubu Chelsea dan nyaris menambah gol pada minit ke-90 menerusi pemain gantian, Emre Belözoğlu.

Radamel Falcao yang dibawa dari kelab Portugal, FC Porto masuk mengantikan Sergio Aguero sememangnya menjadi aset berharga Atletico Madrid apabila menjadi nadi kejayaan menjulang Piala Europa musim lalu dengan menjaring 12 gol termasuk 2 gol pada perlawanan akhir ketika menewaskan Athletic Bilbao. Penyerang berusia 26 tahun itu turut cemerlang menjaringkan 24 gol dalam saingan La Liga musim lalu.

“Hanya ada satu Falcao dan dia milik kami,” kata pemilik saham majoriti Atletico, Miguel Angel Gil kepada televisyen Sepanyol.

Sementara itu, pengendali Atletico Madrid Diego Simeone turut memuji aksi penyerang kelahiran Colombia itu yang cemerlang melaksanakan tugasnya.

“Saya benar-benar teruja. Apa yang dilakukan oleh Falcao susah untuk digambarkan. Dia merupakan pemain yang sentiasa bersedia menyahut cabaran dan saya berharap kami akan dapat mengekalkan prestasi ini,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Pengurus Chelsea pula mengakui kesilapan taktikan dan kegagalan pemain-pemainnya untuk mengekang serangan Atletico menjadi punca kekalahan dalam perlawanan kelmarin.

“Kami memulakan perlawanan dengan perlahan dan dibolosi dalam masa 20 minit. Selepas itu perlawanan menjadi sukar buat kami,” kata jurulatih Chelsea, Roberto Di Matteo.

“Kami memberikan mereka terlalu banyak ruang dan ia mengundang padah apabila mereka memiliki pemain seperti Falcao.”

“Jika sebelum ini benteng kami begitu sukar untuk ditembusi, malam ini sebaliknya pula yang berlaku,” kata Di Matteo lagi.

This entry was posted in UEFA. Bookmark the permalink.

Leave a Reply