[PERSPEKTIF] PEMERGIAN ROBIN VAN PERSIE RAHMAT BUAT ARSENAL

Arsene Wenger menyatakan wujud kepelbagaian dalam perlawanan sejak pemergian Robin van Persie yang meninggalkan Arsenal untuk menyertai Manchester United pada jendela musim panas lalu. Penyerang Belanda berusia 29 tahun itu meledak 30 gol bersama The Gunners dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu membantu Arsenal bangkit dari permulaan buruk pada awal musim dan menamatkan saingan di kedudukan ketiga liga.

Kehilangan Robin van Persie menyaksikan ketibaan beberapa pemain baru, Lukas Podolski, Olivier Giroud dan Santi Cazorla yang memberi kepelbagaian dalam menjana serangan serta mengurangkan kebergantungan terhadap Robin van Persie untuk menjaringkan gol.

“Kadang-kadang seseorang pemain mencipta nama dan menjadi watak utama serta membawa pasukan di mana hanya dia menjadi perhatian di atas padang,” kata pengurus Arsenal itu.

“Robin van Persie musim lalu menjaringkan 30 gol di mana semua pemain akan mencipta peluang dan melorongkan bola untuknya menjarikan gol demi gol. Namun, ketika ini kami memiliki lebih kepelbagaian.”

“Kami memiliki semangat untuk bermain, keinginan untuk memenangi perlawanan serta kekuatan yang seimbang di semua posisi. Situasi ini menjadikan kami tampil selaku pasukan sebenar dan gembira bermain bersama-sama. Ini merupakan asas yang mudah dan menarik.”

Arsenal memulakan musim ini dengan positif dengan menduduki kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris selepas 4 perlawanan dengan 8 mata serta menjaringkan 8 gol tetapi cuma melepaskan satu gol setakat ini. Kemenangan 6-1 ke atas Southampton Sabtu lalu melebarkan rekod tanpa kalah dengan pemain baru Arsenal, Santi Cazorla dan Lukas Podolski menghadirkan impak dalam memacu kejayaan Arsenal

Arsene Wenger percaya skuad Arsenal musim ini mampu mencabar kejuaraan tetapi mengharapkan pemain-pemain mengekalkan konsistensi sehingga ke penghujung musim.

“Saya rasa kami memiliki peluang (untuk mencabar kejuaraan). Kita akan mengetahui kemampuan sebenar kami selepas 10 perlawanan. Kami memiliki kualiti tetapi harus memberikan lebih lagi untuk memenangi kejuaraan.”

“Ketika ini saya tidak mengetahui kekuatan sebenar pencabar-pencabar lain. Kami belum menentang mereka lagi untuk memburu kejuaraan. Ia sangat penting untuk melihat keupayaan pasukan-pasukan utama yang lain,” kata Wenger lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply