[LUMBA BASIKAL] LTdL 2013 BAKAL KEMBALI KE LANGKAWI

Kejohanan lumba basikal berprestis di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan menjanjikan saingan lebih sengit dalam mencabar pada edisi ke-18 tahun hadapan. Bagai sirih pulang ke gagang, LTdL 2013 bakal kembali ke tempat asalnya di Pulau Langkawi, Kedah selepas diketepikan beberapa edisi lantaran faktor kos logistik yang tinggi.

Malah, laluan untuk edisi ke-18 ini lebih mencabar dalam perlumbaan 10 peringkat yang bakal disertai 22 pasukan akan bermula pada 21 Februari hingga 3 Mac tahun depan. Beberapa lokasi baru turut diperkenalkan seperti Serdang (Selangor), Sungai Siput dan Kuala Kangsar di Perak dan selain beberapa lokasi lama seperti Mentakab, Pahang dan Dungun, Terengganu. Namun, laluan paling mencabar semestinya menjadi tumpuan peminat-peminat melibatkan pendakia ke Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, LTdL tahun depan juga menyaksikan kemunculan hos venue baharu seperti Serdang, Selangor, Sungai Siput dan Kuala Kangsar di Perak dan selain beberapa lokasi lama seperti Mentakab, Pahang dan Dungun, Terengganu.

“Untuk rekod, ini merupakan tahun ketiga perlumbaan yang mendapat pengiktirafan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) itu diberikan status 2.0 HC (hors categorie) dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Kata Ahmad Shabery, edisi kali ini juga akan menampilkan tiga pendakian berstatus hors, iaitu dua di Cameron Highlands dan satu ke puncak Genting Highlands.

Bagaimanapun, sebelum mendaki ke Cameron Highlands pada perlumbaan Peringkat 3, pelumba akan menempuh laluan mengelirukan pada Peringkat 2 dari Serdang ke Kuala Kangsar yang akan melewati Bukit Sumpitan, terletak pada ketinggian 800 meter daripada aras laut dengan darjah kecerunan yang sukar.

Menurutnya, pada perlumbaan Peringkat 1 dari Kangar ke Kulim pada 21 Februari, para pelumba akan mengharungi ujian di Bukit Selambau dengan beberapa laluan beralun pada peringkat awalnya.

“Terengganu sekali lagi menjadi penaja venue yang menyaksikan empat peringkat terakhir akan diadakan di negeri itu dan mereka (Terengganu) juga mempunyai sebab untuk meraikan kedatangan LTdL 2013 bersama pasukan Terengganu Cycling Team yang kini mendahului senarai keseluruhan berpasukan pada UCI Asia Tour.”

“Terengganu juga muncul pasukan Malaysia pertama akan dimahkota sebagai juara berpasukan dalam sirkit benua Asia itu,” kata Ahmad Shabery pada majlis pelancaran LTdL 2013 di Putrajaya semalam.

Kata beliau, LTdL 2013 yang tampil dengan slogan ‘Bahang Kian Terasa’ itu dianggap sebagai satu perlumbaan jelajah tahunan terhebat di Asia kerana menempuh cuaca panas tropika, jarang dapat dirasakan dalam perlumbaan jelajah lain.

“Dari segi penyertaan pula, setakat ini sebanyak 22 pasukan termasuk dua pasukan profesional UCI, Astana dan Garmin-Sharp sudah mengesahkan penyertaan untuk LTdL 2013.”

Pemegang rekod kemenangan peringkat terbanyak dalam sejarah LTdL serta Raja Pecut musim lalu, Andrea Guardini dari Itali turut bersetuju kembali kali ini bersama pasukan Astana Pro Team, sebuah pasukan profesional Kazakhstan.

“Guardini pada musim lalu yang mewakili pasukan Farnese-Vini (Itali) telah memberikan impak besar dalam penyertaannya kerana banyak liputan daripada media Itali yang mengikuti perkembangannya, begitu juga laman web LTdL yang menunjukkan peningkatan begitu ketara apabila dilayari lebih 2.5 juta kali.”

“Pada tahun lalu pihak penganjur berjaya mengutip RM7.3 juta dalam bentuk tunai dan barangan daripada penaja-penaja korporat manakala untuk edisi kali ini kami sudah mengumpul sekitar RM14 juta.”

Incoming search terms:

  • laluan ltdl 2013
  • ltdl 2013
  • laluan le tour de langkawi 2013
  • jadual le tour de langkawi 2013
  • le tour de langkawi
This entry was posted in Lumba Basikal and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply