[INFO] 10 PENJARING TERBANYAK ARSENAL SEPANJANG ZAMAN

Bintang silih berganti, datang dan pergi dalam mewarnai skuad Arsenal. Kehebatan seseorang penyerang antara faktor penting kejayaan sesebuah kelab seperti peranan yang dimainkan oleh Lionel Messi bersama Barcelona dan Cristiano Ronaldo di Real Madrid. Arsenal juga turut memiliki ramai penyerang-penyerang yang hebat dan berwibawa suatu ketika dahulu antaranya Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Ian Wright, Cliff Bastin, Ted Drake, Nicholas Anelka, Robin van Persie dan ramai lagi. Di sini Arsenal4u.com menyenaraikan 10 penjaring gol terbanyak Arsenal sepanjang zaman :-

1-THIERRY HENRY (1999-2007) – 228 GOL

Henry menyertai Arsenal setelah mengharungi musim-musim suram bersama Juventus pada 3 Ogos 1999 dengan bayaran perpindahan dianggarkan bernilai £11 juta ketika berusia 22 tahun. Penyerang Perancis ini memulakan debut bersama Arsenal pada 7 Ogos 1999 ketika perlawanan menentang Leicester City namun gagal menjaringkan sebarang gol dalam 8 penampilan awal bersama Arsenal. Gol pertama Henry hadir ketika Arsenal menewaskan Southampton pada 18 September 1999 sekaligus merekodkan 26 gol sepanjang musim 1999/2000.

Penyerang berketinggian 1.88 meter ini muncul selaku penjaring terbanyak Arsenal sepanjang zaman dengan 228 dan 92 assist dalam 378 penampilan termasuk dua gol ketika tempoh pinjaman dari New York Red Bulls Januari lalu. Penyerang Perancis ini berjaya memecahkan rekod milik Ian Wright selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Sparta Prague pada 17 Oktober 2005. Henry turut meleburkan rekod penjaring terbanyak Arsenal dalam liga yang disandang oleh penyerang lagenda, Cliff Bastin apabila menjaringkan gol ke-151 ketika menentang West Ham United pada 1 Februari 2006.

Thierry Henry berjaya membantu Arsenal menjulang 2 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (2001/02, 2003/04), 3 Piala FA (2001,2003,2005) dan 2 Perisai Komuniti (2002,2004). Selain itu, Henry turut menerima pelbagai anugerah individu ketika beraksi bersama Arsenal termasuk 2 kali Pemain Terbaik Tahunan PFA (2002/03, 2003/04), 4 kali Anugerah Kasut Emas Liga Perdana (2001/02, 2003/04, 2004/05, 2005/06), 2 kali Anugerah Kasut Emas Eropah (2003/04, 2004/05), 5 kali disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Tahunan UEFA (2001, 2003, 2004, 2005, 2006) dan banyak lagi sepanjang 8 musim bersama Arsenal.

Malah, Thierry Henry turut diiktiraf selaku antara Penyerang Terbaik Liga Perdana Inggeris serta turut disenaraikan selaku antara 10 Pemain Terbaik Dunia Untuk Sedekad (2000-2009) oleh ESPN. Henry juga turut dinamakan selaku Pemain Arsenal Kedua Terbaik Sepanjang Zaman selepas Tony Adams menerusi laman web rasmi arsenal.com. Pemergiannya ke Barcelona pada 25 Jun 2007 dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £19 juta merupakan satu kehilangan besar buat Arsenal.

2-IAN WRIGHT (1991-1998) – 185 GOL

Penyerang kelahiran Woolwich, London ini memulakan karier awal bersama Crystal Palace sebelum menyertai Arsenal pada September 1991 dengan yuran perpindahan bernilai £2.5 juta. Ian Wright tidak menunggu lama untuk mengegar Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan gol pertamanya semasa debut bersama Arsenal ketika menentang Liecester City dalam saingan Piala Liga dan mencatatkan hatrik pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris menentang Southampton.

Wright berjaya mengatasi rekod Cliff Bastin selaku penjaring terbanyak Arsenal apabila mencatatkan hatrik ketika menentang Bolton Wanderers pada 13 September 1997.Sepanjang bersama Arsenal, Ian Wright turut menjulang satu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (1997/98), satu kejuaraan Piala UEFA (1994), Piala FA (1993, 1998) dan satu Piala Liga (1993) selain memenangi Anugerah Kasut Emas pada 1991/92.

Ian Wright meninggalkan Arsenal pada Julai 1998 ketika berusia 35 tahun untuk menyertai West Ham United dengan bayaran perpindahan bernilai £500,000 setelah menjaringkan 185 gol dalam 288 perlawanan bersama ‘The Gunners’. Pada 18 Julai 2008, Ian Wright turut dinamakan selaku Pemain Arsenal Ke-4 Terbaik Sepanjang Zaman oleh laman web rasmi arsenal.com.

3-CLIFF BASTIN (1929-1949) – 178 GOL

Cliff Bastin menghabiskan seluruh kariernya bersama Arsenal dengan beraksi dalam 350 penampilan dengan menjaringkan 178 gol. Pemain kelahiran Devon ini memulakan karier bersama Exeter City ketika berusia 16 tahun pada 1928 sebelum menyertai Arsenal setahun kemudiannya. Cliff Bastin memulakan debut menentang Everton pada 5 Oktober 1929 dan terus berjaya mendapat mendapat tempat dalam skuad utama kendalian Herbert Chapman.

Penyerang kelahiran Heavitree, England ini berjaya menjulang pelbagai kejuaraan bersama Arsenal termasuk 2 kali Piala FA (1929/30, 1935/36) dan 5 kejuaran liga (1930/31, 1932/33, 1933/34, 1934/35 dan 1937/38). Ketibaan pada Mac 1934 menyaksikan Bastin sukar mendapat tempat dalam skuad utama Arsenal. Setelah dua dekad menabur bakti bersama the Gunners dengan beraksi sebanyak 396 kali dengan menajaringkan 178 akhirnya Bastin mengumumkan persaraan bersama Arsenal pada Januari 1947. Cliff Bastin meninggal dunia di usia 79 tahun pada 4 Disember 1991.

4-JOHN RADFORD (1962-1976) – 149 GOL

Anak kelahiran Yorkshire, England ini memulakan karier bersama skuad remaja Arsenal pada 1962. Radford merupakan penyerang prolifik bagi skuad remaja dan simpanan Arsenal sebelum memulakan debut bersama skuad utama menentang West Ham United pada 21 Mac 1964.  Radford turut muncul selaku pemain Arsenal termuda yang menjaringkan hatrik dalam skuad utama ketika berusia 17 tahun 315 hari dalam perlawanan menentang Wolves pada 2 Januari 1965, dan rekod itu masih kekal hingga ke hari ini.

Sentuhan Radford membantu Arsenal menjulang beberapa kejuaraan termasuk Piala Inter-Cities Fairs pada 1970 yang merupakan trofi pertama Arsenal selepas 17 tahun selain mnejadi tunjang kejayaan berganda, Piala FA dan kejuaraan Liga pada musim 1970/71. Lantaran gagal mendapat tempat dalam skuad utama Arsenal pada musim 1976/77, Radford akhirnya menyertai West Ham United pada Disember 1976 dengan bayaran £80,000 selepas beraksi sebanyak 481 perlawanan dengan menjaringkan 149 gol bersama The Gunners.

5-TED DRAKE (1934-1945) – 139 GOL

Edward Joseph ‘Ted’ Drake menyertai Arsenal dari Southampton ketika berusia 22 tahun pada Mac 1934 dengan bayaran £6,500 dan memulakan debut bersama Arsenal pada 24 Mac 1934 dengan membantu menewaskan Wolves 3-2. Drake berjaya menjaringkan 42 gol daripada 41 perlawanan pada musim kedua bersama Arsenal. Dengan dua gol dalam saingan Piala FA dan Perisai Komuniti, sehingga kini Ted Drake masih memegang rekod jaringan terbanyak semusim dengan 44 dalam semua kejohanan.

Kehadiran Drake yang bergandingan bersama Alex James dan Cliff Bastin berjaya mewujudkan ‘fear factor’ dalam skuad Arsenal ketika itu dan berjaya menjulang dua kejuaraan liga (1934/35, 1937/38) dan Piala FA pada 1935/36. Ekoran kecederaan yang dialaminya ketika menentang Reading, akhirnya Ted Drake mengumumkan persaraan bersama Arsenal selepas beraksi 184 perlawanan dengan menjaringkan 139 sepanjang bersama The Gunners. Ted Drake menghembuskan nafas terakhir pada 30 Mei 1995 ketika berusia 82 tahun.

6-JIMMY BRAIN (1923-1931) – 139 GOL

Pemain kelahiran Bristol, England ini memulakan karier awalnya di Wales bersama kelab Ton Pentre sebelum berhijrah ke Arsenal pada 1923 ketika berusia 23 tahun. Selepas semusim bersama skuad simpanan, Brain menjaringkan gol pertamanya dalam penampilan pertama bersama skuad utama Arsenal ketika membantu menewaskan Tottenham Hotspurs 1-0 pada 25 Oktober 1924.

Jimmy Brain merupakan antara penyerang prolifik sepanjang 8 musim namun prestasi Brain mulai menurun pada musim 1929/30 dengan kehadiran Jack Lambert, David Jack dan Dave Halliday. Selepas berjaya menjulang kejuaraan liga bersama Arsenal pada 1930/31, Jimmy Brain akhirnya menyertai seteru setempat Tottenham Hotspurs dengan bayaran £2,500 pada September 1931 setelah menjaringkan 139 gol daripada 232 perlawanan bersama Arsenal. Brain telah meninggal dunia pada 1971 ketika berusia 71 tahun.

7-DOUG LISHMAN (1948–1956)- 137 GOL

Douglas John Lishman menyertai Arsenal dari Walsall ketika berusia 25 tahun dengan yuran perpindahan bernilai £10,500 sebagai penganti kepada Reg Lewis. Pemain kelahiran Birmingham, England ini mendapat debut bersama Arsenal ketika menentang Sheffield United pada 4 September 1948 dan berjaya menjaringkan 13 gol daripada 25 penampilan pada musim pertama bersama Arsenal.

Sepanjang bersama Arsenal, Lishman berjaya membantu Arsenal menjulang satu kejuaraan liga (1952/53), satu Piala FA (1949/50) dan Perisai Komuniti (1953). Penyerang prolifik Arsenal ini akhirnya berhijrah ke Nottingham Forest dengan bayaran £8,000 pada Mac 1956 selepas mencatatkan 137 gol dalam 244 kemunculan bersama The Gunners. Lishman akhirnya meninggal dunia di usia 71 tahun pada Disember 1994.

8-ROBIN VAN PERSIE (2004-2012) – 132 GOL

Penyerang kelahiran Rotterdam, Belanda ini memulakan karier bersama Feyenoord sebelum berhijrah ke Arsenal pada 17 Mei 2004 dengan yuran perpindahan bernilai £2.75 juta ketika berusia 21 tahun. Robin van Persie memulakan aksi bersama Arsenal ketika membantu menewaskan Manchester United 3-1 dalam Perisai Komuniti pada 8 Ogos 2004. Jaringan pertama Robin van Persie hadir pada 27 Oktober 2004 ketika Arsenal menewaskan Manchester City 2-1 dalam saingan Piala Liga.

Sepanjang 8 musim bersama Arsenal, Robin van Persie sering dihimpit kecederaan demi kecederaan sekaligus menghalangnya dari menyerlah dengan sekadar meraih kejuaraan Piala FA pada musim 2004/05. Namun, Robin van Persie akhirnya menyerlahkan kehebatannya sepanjang musim 2011/12  dengan menjaringkan 30 sekaligus muncul selaku Penjaring Terbanyak EPL 2011/12, Pemain Terbaik PFA 2011/12 dan Pemain Terbaik FWA 2011/12.

Ketajaman penyudah dan reputasi selaku pengempur yang digeruni dalam Liga Perdana Inggeris menarik minat Manchester United untuk mendapatkan sentuhannya. Tanggal 15 Ogos 2012, Robin van Persie akhirnya melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dengan yuran perpindahan bernilai £24 juta selepas mencatatkan 132 gol dalam 277 perlawanan bersama The Gunners.

9-JOE HULME (1926-1938) – 125 GOL

Joe Hulme menyertai Arsenal dari Blackburn Rovers dengan bayaran £250 pada Februari 1924 setelah mengharungi dua musim di Ewood Park ketika berusia 22 tahun. Penyerang kelahiran Staffordshire, England ini merupakan tonggak skuad Arsenal di bawah kendalian Herbert Chapman. Hulme memulakan debut bersama Arsenal pada 6 Ogos 1926 menentang Leed United di Elland Road.

Gandingan mantap Hulme bersama Cliff Bastin dan Alex James membantu Arsenal menjulang 4 kejuaraan liga (1930/31, 1932/33, 1933/34, 1934/35), 2 kejuaraan Piala FA (1929/30, 1935/36) dan 4 Perisai Komuniti (1930, 1931, 1933, 1934). Selepas mengahrung 12 musim bersama Arsenal dengan beraksi dalam 374 penampilan dan menjaringkan 125 gol, Joe Hulme akhirnya melengkapkan perpindahan ke Huddersfield pada Januari 1938. Hulme menghembuskan nafas terakhir pada 27 September 1991 diusia 87 tahun.

10-DAVID JACK (1928-1934) – 124 GOL

David Bone Nightingale Jack memulakan karier awal bersama Plymouth Argyle sebelum berhijrah ke Bolton Wanderers. David Jack muncul pemain pertama yang mencatatkan yuran perpindahan bernilai £10,890 ke Arsenal pada musim panas 1928. Pemain kelahiran Bolton ini memulakan debut bersama Arsenal ketika menentang Newcastle United pada 20 Oktober 1928.

Sepanjang bersama Arsenal, David Jack turut menghadiahkan beberapa kejuaraan termasuk 3 kejuaraan liga (1930/31, 1932/33, 1933/34), 4 Perisai Komuniti (1930, 1931, 1933, 1934) dan satu kejuaraan Piala FA (1929/30). Selepas beraksi dalam 208 perlawanan bersama Arsenal dengan menjaringkan 124 gol, David Jack mengumumkan persaraannya pada Mei 1934 ketika berusia 35 tahun. David Jack telah meninggal dunia pada 10 September 1958.

Incoming search terms:

  • penjaring terbanyak epl 2013
  • penjaring terbanyak arsenal
  • penjaring terbanyak epl 2012
  • permain penjaring terbayak dan terbaik sepajang club masinga2 epl
  • 10 penjaring gol terbanyak sepanjang zaman
This entry was posted in Informasi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply