[CORETAN] UJIAN SEBENAR ARSENAL SEPTEMBER INI

Arsenal bakal menghadapi ujian sebenar apabila bakal beraksi 5 perlawanan dalam tempoh 14 hari mendatang. The Gunners bermula perlahanan musim ini apabila sekadar mencatat dua keputusan seri 0-0 dengan Sunderland dan Stoke City sebelum garang membenam Liverpool di Anfield awal September lalu. Arsene Wenger turut menerima perkhabaran positif apabila hampir kesemua pemain-pemain utama yang menyertai skuad kebangsaan masing-masing tidak mengalami kecederaan serius.

Keupayaan untuk mengharungi 5 perlawanan ini bakal menjadi penentu kejayaan Arsenal musim ini. Prestasi yang konsisten perlu dipamerkan oleh barisan pemain-pemain dalam mengekalkan momentum skuad Arsenal. Berikut merupakan 5 perlawanan yang menjadi ujian sebenar Arsenal musim ini :

ARSENAL vs SOUTHAMPTON – 15 September 2012

Kunjungan Southampton ke Emirates hujung minggu ini bakal menjadi ujian sebenar buat skuad bimbingan Arsene Wenger yang berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam 3 perlawanan awal musim ini. Namun, jentera serangan Arsenal sedikit menimbulkan kerisauan apabila gagal menjaringkan gol dalam 2 perlawanan awal sebelum berjaya meledak 2 gol dalam perlawanan menentang Liverpool dua minggu lalu.

Selain itu, pendatang baru Liga Perdana Inggeris musim ini juga nyaris mencipta kejutan menewaskan Man United sebelum dua jaringan lewat Robin van Persie berjaya membantu Red Devil menundukan Southampton 3-2. The Saint juga hampir mengejutkan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Manchester City sebelum jaringan Samir Nasri memberi kemenangan buat kelab yang berpangkalan di Eastland itu pada aksi pembukaan 18 Ogos lalu. Malah, Arsenal sekadar seri 1-1 ketika menentang Southampton dalam perlawanan pra-musim lalu.

MONTPELLIER vs ARSENAL – 18 September 2012

Arsenal bakal bertandang ke Stade de la Mosson dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah musim ini menentang Montpellier bakal menjadi ujian terbaik dalam menentukan hala tuju The Gunners dalam saingan Eropah. Montpellier merupakan juara Ligue 1, Perancis musim lalu memiliki kekuatan tersendiri meskipun kehilangan penyerang utama, Olivier Giroud yang menyertai Arsenal pada hujung Jun lalu.

Meskipun diletakkan selaku pasukan pilihan dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih 3 mata namun Arsene Wenger turut melaungkan amaran buat anak-anak buah agar tidak mengambil mudah aksi menentang Montpellier nanti. Skuad bimbingan Renè Girard ini dijangka tidak akan memberi lalu mudah tetapi kehadiran Giroud sedikit sebanyak bakal memberi kelebihan buat Arsenal. Kegagalan meraih 3 mata bakal menjejaskan keyakinan pemain-pemain dalam mengharungi cabaran musim ini.

MANCHESTER CITY vs ARSENAL – 23 September 2012

Kunjungan ke Stadium Etihad bakal menjadi ujian getir buat Arsenal dalam mengukuhkan kedudukan dalam Liga Perdana Inggeris. Musim lalu, Arsenal tewas 0-1 kepada City di Etihad namun situasi musim ini pasti berbeza. Skuad Arsenal kini tampil berbeza dengan memiliki lebih cengkaman di bahagian tengah terutama ketika perlawanan menentang Liverpool pada 2 September lalu. Gandingan mantap Cazorla bersama Arteta dan Diaby pastinya memberi masalah buat anak-anak buah Roberto Mancini.

Namun, Man City pastinya tidak dapat igauan tumpas 3-0 ditangan Arsenal dua musim lalu. Pertembungan menentang City nanti bakal menjadi ujian sebenar untuk melihat keupayaan sebenar benteng pertahanan Arsenal dalam menyerap asakan-asakan daripada The Citizen. Selain itu, perlawanan ini turut bakal menjadi ujian kepimpinan buat kapten baru Arsenal, Thomas Vermaelen dan menjadi antara perlawanan paling menarik dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

ARSENAL vs COVENTRY CITY – 26 September 2012

Perlawanan menentang Coventry City ini merupakan peluang terbaik untuk Arsene Wenger merehatkan beberapa pemain-pemain utama yang mengharungi jadual perlawanan yang padat sekaligus memberi laluan buat pemain-pemain muda yang berada dalam barisan simpanan untuk turun beraksi. Aksi pusingan ketiga Piala Capital One (dahulunya dikenali sebagai Piala Carling) menentang Coventry ini dijangka mudah buat Arsenal untuk mara ke pusingan seterusnya.

ARSENAL vs CHELSEA – 29 September 2012

Arsenal bakal menanti kunjungan skuad Chelsea di Stadium Emirates menjadi ujian getir lantaran Chelsea menampilkan aksi cemerlang pada perlawanan awal Liga Perdana Inggeris musim ini dengan mengumpul 9 mata daripada 3 perlawanan serta berjaya menjaringkan 8 gol setakat ini. Skuad bimbingan Roberto di Matteo ini pastinya ingin membalas dendam kekalahan 3-5 The Blues di Stamford Bridge musim lalu.

Chelsea dijangka tidak mengamalkan taktikal bertahan seperti ketika menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu sebaliknya bakal bermain secara terbuka dengan serangan balas yang pantas. Perlawanan ini sekali lagi bakal menjadi kayu ukur keupayaan sebenar benteng Arsenal dalam mengekalkan rekod tanpa bolos musim ini. Satu lagi perlawanan menarik yang harus diberi perhatian musim ini.

Kesimpulannya, perlawanan ini sangat penting dalam menentukan hala tuju dan menilai kemampuan sebenar Arsenal untuk menjulang kejuaraan musim ini sekaligus menamatkan penantian kemarau kejuaraan sejak 7 musim yang lalu. Kemenangan akan memberi ransangan motivasi buat pemain-pemain Arsenal dalam mengharungi perlawanan mendatang namun kekalahan bakal menghadirkan situasi sukar buat skuad The Gunners. Ayuh kita semarakan sokongan buat skuad Arsenal dalam mengharungi saingan musim ini. COYG….

This entry was posted in Coretan and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply