[BULETIN] BACARY SAGNA KECEWA DENGAN PENGURUSAN ARSENAL

Bek Arsenal, Bacary Sagna mengakui belum menerima jemputan rundingan kontrak barunya dari Arsenal di mana kontraknya bakal tamat pada musim panas 2014. Pemain berusia 29 tahun ini  mengakui kecewa dan tidak memahami mengapa kelab mengambil keputusan menjual Alex Song. Pertahanan antarabangsa Perancis ini semakin hampir untuk kembali ke dalam skuad Arsenal selepas berehat panjang ekoran mengalami patah kaki pada penghujung musim lalu.

Sagna tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya selepas apa yang berlaku di Emirates dan menjangkakan bahawa kelab akan menjual pemain-pemain setiap musim panas berdasarkan apa yang berlaku beberapa musim kebelakangan ini.

Bacary Sagna ketika ditemuramah oleh majalah Perancis, l’Equipe berkata : “Saya sememangnya menjangkakan pemergian Robin van Persie. Ia bukan sesuatu yang pelik.”

“Tetapi mengenai Alex (Song), saya benar-benar terkejut. Dia baru berusia 25 tahun dengan kontak masih berbaki dua tahun lagi. Saya tidak dapat memahaminya. Ia satu kehilangan besar kepada kelab.”

“Apabila melihat dua pemain terbaik meninggalkan Arsenal musim ini, anda diselubungi dengan pelbagai persoalan. Saya memahami mengapa mereka terkejut. Saya juga seperti mereka, saya tidak memahami apa yang sedang berlaku.”

“Saya satu-satunya pemain kesebelasan utama Arsenal pada 2007 yang masih kekal berada dalam skuad  Arsenal kini. Mei lalu, saya melihat perarakan Manchester City. Saya melihat Samir (Nasri) dan Gael (Clichy) menjulang kejuaraan.”

Sagna turut mengakui situasi tidak menentu mengenai dirinya meskipun kontraknya bakal tamat pada 2014. Pemain bek kanan Arsenal turut menyatakan kesediaannya berada dalam skuad utama Arsenal selepas pulih dari kecederaan.

“Bagaimana dengan situasi saya. Pada penghujung musim ini, kontrak saya berbaki setahun sahaja,” katanya selepas tidak sebarang rundingan mengenai kontrak barunya.

“Adakah ada pihak kelab yang menghubung saya mengenai kontrak lanjutan. Tidak, tiada sama sekali.”

“Mungkinkah saya perlu meninggalkan Arsenal? Saya cuma mahu bermain lagi dan beraksi bersama Arsenal setakat ini.”

“Namun setiap orang memiliki nasib tersendiri. Seminggu lalu saya kembali berlatih dan saya berharap dapat kembali ke dalam skuad selepas rehat antarabangsa.”

“Saya sudah berehat hampir empat bulan dua kali (termasuk pada tahun lalu). Jadi, saya perlu benar-benar cergas,” kata Sagna lagi.

This entry was posted in Buletin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply