[BULETIN] JACK WILSHERE KEMBALI LEBIH BERSEMANGAT – WENGER

Pemain muda berbakat Arsenal, Jack Wilshere kembali menyertai latihan penuh bersama Arsenal pada Khamis lalu selepas disisihkan lebih setahun kerana kecederaan. Pemain tengah antarabangsa England berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan ketika aksi pemanas badan dalam siri jelajah pra-musim menentang New York Red Bulls pada 31 Julai tahun lalu dalam saingan Piala Emirates 2011.

Arsène Wenger nyata gembira dengan perkembangan positif dan mengalu-alukan kepulangan pemain tengah England itu.

“Dia (Wilshere) melakukan dengan baik terutama pada 3 bulan terakhir. Dia kekal fokus setiap hari dan bekerja keras. Kini dia berada dalam keadaan yang baik sekali.”

“Cuma sedikit merisaukan kami kerana Wilshere tidak beraksi selama 14 bulan dan dia memerlukan masa untuk mendapatkan kembali kecergasannya. Dia kini cergas untuk berlatih dan bermain tetapi belum bersedia untuk aksi perlawanan berkelas tinggi.”

“Saya tidak pernah meragui komitmennya tetapi Wilshere tenpaksa menerima hakikat tidak dapat beraksi selama 14 bulan kerana kecederaan dan ini bagus untuk membina kekuatan mental buat dirinya.”

“Bagi saya, dia benar-benar luar biasa kerana bukan sahaja menjalani pembedahan buku lali tetapi juga pembedahan lutut. Namun, apa yang boleh saya katakan dia berjaya menghadapi dengan baik.”

Sementara itu, Arsene Wenger dan staf-staf kejurulatihan Arsenal tidak terdesak untuk menurunkan Wilshere sebaliknya memberi masa beberapa minggu untuk pemain berusia 20 tahun ini cergas sepenuhnya.

“Sukar untuk saya katakan. Dia masih memerlukan masa beberapa minggu dan kami akan menilai keadaannya dalam dua perlawanan. Kami harus mengikut jadual di mana dia perlu menjalani latihan selama 10 hari sebelum bermain dalam perlawanan pertamanya bersama skuad Arsenal B-21 menentang West Brom Isnin nanti.”

“Wilshere memiliki kekuatan mental dan keyakinan diri yang tinggi. Saya yakin dia mampu mengatasinya sekaligus menjadikan dirinya lebih kuat. Dan dia kini bersedia untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama,” kata Wenger lagi.

This entry was posted in Buletin and tagged , , , . Bookmark the permalink.