[BULETIN] HANYA ARSENAL DAN ZENIT DI HATI ARSHAVIN

Andrey Arshavin terus kekal bersama Arsenal dan bersedia untuk bersaing merebut tempat dalam skuad utama Arsenal musim ini. Pemain berusia 31 tahun itu juga dilaporkan bersedia menamatkan karier dalam bola sepak bersama The Gunners setelah menolak tawaran dari kelab Russia, Dynamo Moscow pada hari terakhir perpindahan lalu. Kontrak Arshavin bersama Arsenal bakal tamat pada musim panas 2013.

Terdahulu, pengurus Dynamo, Dan Petrescu mengesahkan minatnya untuk mendapatkan kapten skuad kebangsaan Russia itu namun Arshavin menolaknya untuk terus kekal di Stadium Emirates. Pemain berusia 31 tahun itu juga dilaporkan tidak mahu pulang ke Russia selain beraksi bersama bekas kelabnya, Zenit Saint-Petersburg.

“Kami mahu membawa Andrey (Arshavin) ke pasukan kami tetapi dia (Arshavin) mengatakan tidak kepada Dynamo.”

Musim lalu, Arshavin menghabiskan tempoh pinjaman pada Januari lalu hingga penghujung musim bersama Zenit Saint-Petersburg dengan menjaringkan 3 gol dan menghasilkan 4 assist dalam 11 perlawanan. Namun, masa depan bersama Zenit menjadi tidak menentu ekoran komennya terhadap penyokong-penyokong Russia selepas kekalahan kepada Greece pada saingan peringkat kumpulan EURO 2012 menyaksikan Russia terpaksa pulang awal.

Namun kini, peluang Arshavin dilihat semakin tipis ekoran kehadiran Santi Cazorla dan Lukas Podolski serta prestasi mantap yang dipamerkan oleh pemain muda, Alex Oxlade-Chamberlain. Pengarah besar Zenit, Maxim Mitrofanov dilaporkan bersedia membawa pulang bekas kaptennya itu pada jendela perpindahan musim panas depan secara percuma selepas gagal mencapai persetujuan meskipun mengadakan perbincangan panjang mengenai Arshavin.

“Kami sudah berbincang untuk tempoh masa lama dengan Arsenal. Hanya ada satu daripada dua penyelesaian untuk kami. Hanya Arshavin yang mengetahui pilihan kedua itu,” kata Maxim Mitrofanov.

Andrey Arshavin merupakan pemain termahal Arsenal apabila tiba dari Zenit Saint-Petersburg pada 31 Januari 2009 dengan yuran perpindahan bernilai £16.7 juta. Kapten skuad kebangsaan Russia ini memulakan debut bersama Arsenal pada 21 Februari 2009 dalam saingan Liga Perdana Inggeris menentang Sunderland. Sehingga kini, Arshavin sudah beraksi sebanyak 134 kali bersama Arsenal dengan menjaringkan 30 gol dan menghasilkan 34 assist.

This entry was posted in Buletin and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply