[BULETIN] ARSENAL TERUS BERDEPAN KRITIKAN DARIPADA PEMINAT

Meskipun Lukas Podolski, Olivier Giroud dan Santi Cazorla berjaya ditandatangani oleh Arsenal dengan kos keseluruhan bernilai £35 juta pada jendela perpindahan musim panas ini namun belum cukup untuk memuaskan hati dan menutup mulut peminat-peminat. Sebaliknya, Arsenal turut kehilangan dua tonggak utama, Robin van Persie yang menyarung jersi Manchester United dan Alex Song yang berhijrah ke Barcelona.

Selain itu, Arsenal turut kehilangan beberapa pemain termasuk Carlos Vela, Henri Lansbury dan Kyle Bartley  yang berhijrah dari Emirates manakala Nicklas Bendter dan Park Chu-Young meninggalkan Arsenal secara pinjaman sekaligus memberi keuntungan keselurahan berjumlah hampir £50 juta. Wenger turut terlepas untuk menandatangani Yohan Cabaye, Mikel Essien dan Nuri Sahin pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan dilabuhkan Jumaat lalu.

Situasi jelas mengundang kegusaran di hati peminat-peminat ekoran Arsene Wenger gagal mendapatkan penganti kepada Alex Song dengan pemain tengah Chelsea, Mikel Essien dilihat sebagai calon terbaik. Kehilangan penyerang prolifik Arsenal, Robin van Persie yang menyertai Manchester United turut menambah luka hati peminat-peminat Arsenal di seluruh dunia.

Menurut analisis yang dilakukan oleh Arsenal Supporters Trust (AST), kelab masih memiliki lebihan dana sekitar £50 juta yang tidak digunakan pada jendela perpindahan musim panas ini. Arsenal Supporters Trust merupakan kelab penyokong rasmi Arsenal telah ditubuhkan pada 2003 yang turut memiliki pegangan saham dalam Arsenal FC.

“Analisis kami menunjukkan bahawa kelab (Arsenal) belum menggunakan sepenuhnya sumber kewangan yang ada untuk mengukuhkan skuad (pada musim panas ini),” kata jurucakap Arsenal Supporters Trust.

“Ramai peminat-peminat Arsenal benar-benar kecewa kerana mereka meletakkan harapan yang tinggi agar pengurusan Arsenal membina skuad yang lebih mantap untuk bersaing dengan lebih kompetatif lagi.”

Menerusi kajian yang dilakukan oleh Arsenal Supporters Trust sebelum ini mendapati bahawa 77% peminat mempertahan kedudukan Arsene Wenger untuk terus membimbing kelab ini.

“Seperti kelazimannya, keputusan mutlak berada di atas padang,”  tambah jurucakap Arsenal Supporters Trust lagi.

Arsene Wenger musim lalu berjaya mengenepikan kritikan peminat-peminat dan pemerhati apabila mengharungi permulaan musim terburuk dalam sejarah Arsenal sejak 58 tahun yang lalu namun berjaya bangkit untuk menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dibelakang Manchester City dan Manchester United.

“Kami dibayar untuk membuat keputusan yang betul atau apa yang kami rasa betul,” kata Arsene Wenger.

“Berbelanja untuk mendapat pemain berkualiti bukanya pada kuantiti. Musim lalu, pada saat yang sama ramai yang menjangkakan kami akan menamatkan musim di kedudukan ke-10 hingga ke-15 liga  namun kami membuktikan sebaliknya apabila berjaya menduduki tempat ketiga,” kata pengendali berbangsa Perancis itu lagi.

This entry was posted in Buletin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply