[BERITA] VIETNAM TIRU RESIPI MALAYSIA

Dalam usaha membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi saingan Piala AFF hujung tahun ini, Vietnam mula melakukan percaturan dengan meniru resipi kejayaan Malaysia dalam saingan Piala AFF dua tahun lalu serta kejayaan merangkul pingat emas bola sepak di Sukan Sea 2009 dan 2011. Bekas juara Piala AFF 2008 itu mengakui keberkesanan pendekatan yang digunakan oleh skuad kebangsaan Malaysia kini.

Tanpa berselindung, penolong jurulatih Hoang Anh Tuan mengaku cemburu dengan kejayaan Malaysia yang kini menjadi kuasa Asia Tenggara dan mahu menerapkan pendekatan yang digunakan Harimau Malaya.

“Kami tewas kepada Malaysia pada Piala AFF (separuh akhir 2010) dan kalah di Sukan Sea. Malaysia mencipta kejayaan dengan menggunakan jurulatih tempatan dan kini kami juga sudah menggunakan jurulatih tempatan,” katanya merujuk kepada ketua jurulatih baru Vietnam, Phan Thanh Hung yang dilantik tahun ini.

Anh Tuan bercakap pada sidang media bagi menggantikan Thanh Hung yang tidak hadir selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan Malaysia dengan Vietnam semalam. Sebelum ini Vietnam yang kini menduduki ranking ke-146 dunia menggunakan 12 jurulatih asing sejak 1995 antaranya Falko Gotz dari Jerman, Henrique Calisto (Portugal), Alfred Riedl (Austria), Edson Tavares (Brazil) dan Karl-Heinz Wei gang (Jerman).

Bagaimanapun sama ada sekadar bermain psikologi menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam dengan Malaysia malam ini ataupun ia pengakuan ikhlas dari mulut Anh Tuan, anak buah Datuk K Rajagobal perlu waspada.

Ini kerana Vietnam tiba ke Kuala Lumpur kelmarin dengan sebilangan besar 22 pemain adalah pemain utama bagi Piala AFF termasuk enam pemain baru yang dipanggil menyertai skuad.

“Kami hanya menjalani latihan selama empat hari sebelum datang ke sini. Perlawanan ini memberi peluang kepada pemain muda saya belajar sebelum menghadapi kejohanan Piala AFF. Hasrat kami supaya pemain belajar daripada pasukan Malaysia,” jelas Anh Tuan.

Pada kejohanan Piala AFF dua tahun lalu, Vietnam tewas agregat 0-2 pada separuh akhir manakala tahun ini mereka diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina dan satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan.

Sumber : www.hmetro.com.my

This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply