[ULASAN] KHABAR POSITIF DARI COLOGNE, JERMAN

Arsenal bertandang ke Cologne, Jerman minggu lalu sebagai persediaan memperkukuhkan skuad menghadapi saingan musim baru 2012/13. Perlawanan persahabatan menentang Cologne FC merupakan destinasi terakhir jelajah pra-musim 2012 setelah mengunjungi Malaysia, Hong Kong dan China Julai lalu. Kunjungan ke Cologne ini juga bakal disertai tiga pemain baru Arsenal, Lukas Podolski, Olivier Giroud dan Santi Cazorla yang baru menyertai Arsenal pada jendela perpindahan musim panas ini.

Arsenal menyenaraikan hampir kesemua pemain-pemain utama termasuk Robin van Persie yang kini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Selain itu, pemain muda Arsenal Serge Gnabry dan Nico Yennaris turun serta dalam kunjungan ke Jerman ini. Namun, nama-nama seperti Tomas Rosicky, Bacary Sagna, Jack Wilshere, dan Emmanuel Frimpong terpaksa disisihkan ekoran belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.

Perlawanan ini dimeriahkan dengan kehadiran 32,500 penonton memenuhi gelanggang rasmi Cologne FC untuk menyaksikan kepulangan bekas penyerang sensasi mereka, Lukas Podolski yang menyertai Arsenal secara rasmi pada Jun lalu.

BARISAN SKUAD ARSENAL (SEPARUH MASA PERTAMA)

Vito Manonne
Nico Yennaris – Per Mertesacker – Thomas Vermaelan -Kieran Gibbs
Francis Coquelin – Oxlade-Chamberlain – Santi Cazorla
Theo Walcott – Olivier Giroud – Lukas Podolski

Arsenal yang menurunkan tiga pemain baru, Lukas Podolski, Olivier Giroud dan Santi Cazorla buat pertama kali berjaya mendominasi perlawanan sebaik sepak mula. Penyerang baru Arsenal, Olivier Giroud terlebih dahulu menguji gawang Cologne menerusi rembatan kaki kirinya pada minit ke-5 namun berjaya ditepis keluar oleh Timo Horn, penjaga gol. Hasil sepakan sudut yang diambil oleh Santi Cazorla berjaya ditanduk masuk oleh Thomas Vermalen pada minit ke-7.

Bermula dari hantaran lintang Oxlade-Chamberlain yang kemudiannya ditanduk oleh Giroud tepat singgah di kaki Santi Cazorla, namun percubaanya berjaya dinafikan oleh Horn pada minit ke-12. Kesilapan pertahanan Cologne, Kevin Wimmer menjatuhkan Chamberlain dalam kotak penalti menyaksikan Arsenal dihadiah sepakan penalti yang disempurnakan oleh Lukas Podolski pada minit ke-15. Kecuaian Coquelin membuat hantaran kebelakang pantas disambar oleh penyerang Cologne, Kacper Pryzybylko namun rembatannya sedikit tersasar.

Olivier Giroud sekali lagi melakukan percubaan setelah menerima hantaran lintang Chamberlain pada minit ke-22 namun ketangkasan Timo Horn berjaya menafikannya. Giroud sekali lagi hampa apabila percubaan kaki kirinya pada minit ke-24 dan tandukan pada minit ke-32 berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Cologne itu. Kelab Jerman itu yang sekali sekala menyerang nyaris memperoleh gol pertama menerusi rembatan Kacper Pryzybylko pada minit ke-34 namun tepat ke dakapan penjaga gol Arsenl, Vito Mannone.

Pemain Cologne, Daniel Royer nyaris mencatat nama selaku penjaring namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Mannone. Lukas Podolski akhirnya berjaya menjaringkan gol ketiga Arsenal yang melepaskan satu rembatan kaki kiri yang kencang pada minit ke-42 membolehkan skuad Arsene Wenger selesa menuju rehat.

BARISAN SKUAD ARSENAL (SEPARUH MASA KEDUA)

Wojciech Szczesny
Carl Jenkinson – Johan Djourou – Laurent Koscielny -Andre Santos
Alex Song – Abou Diaby – Andrey Arshavin
Serge Gnabry – Lukas Podolski – Gervinho

Arsene Wenger mengeluarkan kesemua pemain pada separuh masa pertama kecuali Podolski dengan memberi peluang kepada pemain-pemain untuk beraksi. Arsenal yang memperlahankan rentak pemain nyaris dihukum oleh pemain gantian Cologne, Matthias Lehmann yang melakukan rembatan dari jarak 35m pada minit ke-57 berjaya menewaskan penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny namun palang menjadi penyelamat.

Arsenal berjaya memperoleh gol ke-4 menerusi gerakan solo Gervinho dari sebelah kri yang berjaya mengelecek beberapa pertahanan Cologne sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan oleh Timo Horn, penjaga gol Cologne pada minit ke-62. Penyerang sensasi Arsenal, Robin van Persie pula masuk mengantikan Lukas Podolski pada minit ke-69 namun kedudukan 4-0 kekal hingga tamat permainan.

ANALSIS PERLAWANAN

Kelibat Lukas Podolski, Santi Cazorla dan Olivier Giroud jelas menampakan keserasian bersama pemain-pemain Arsenal meskipun baru menyertai sesi latihan penuh. Namun, Olivier Giroud telah melepaskan beberapa peluang keemasan untuk mencatat nama selaku penjaring gol yang masih tercari-cari sentuhan berbisa ketika di Ligue 1.

Walau bagaimanapun, prestasi Giroud dianggap masih baik pada debut pertama bersama Arsenal Ahad lalu. Lukas Podolski pula mempamerkan kelas tersendiri meskipun berhadapan dengan bekas kelab lamanya itu.

Sementara itu, Santi Cazorla pula pastinya menghadirkan keceriaan di wajah pengurusan dan peminat-peminat Arsenal apabila menghadirkan prestasi yang Arsenal dambakan sejak kehilangan Cesc Fabregas musim panas tahun lalu. Hantaran, sepakan sudut dan percubaan Cazorla cukup mengagumkan. Oxlade-Chamberlain pula mempamerkan prestasi cemerlang dan dilihat bakal menjadi sandaran utama Arsenal musim ini dengan berjaya melakukan beberapa gerakan berbahaya yang mengucar-kacirkan pertahanan Cologne.

Di sebalik persembahan mantap barisan serangan Arsenal, benteng pertahanan sekali menimbulkan kerisauan kerana beberapa kali nyaris dibolosi. Meskipun Wenger tidak mengandingkan Thomas Vermaelen dan Laurent Koscielny selaku gandingan utama, pemain pertahanan seperti Per Mertesacker dan Johan Djourou dilihat perlu meningkat usaha dan memberikan persembahan yang baik apabila diturun kelak. Steve Bould perlu mencari ramuan terbaik bagi mengukuh benteng pertahanan Arsenal musim ini.

This entry was posted in Ulasan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply