[TERJUN] ANAK BUMI KENYALANG RAIH GANGSA UNTUK NEGARA

Atlet terjun negara, Pandelela Rinong berjaya memenangi pingat gangsa di acara terjun 10m platform di Sukan Olimpik London semalam. Pandelela yang berasal dari Bau, Sarawak mencipta sejarah muncul sebagai atlet wanita pertama negara berjaya meraih pingat pada Sukan Olimpik. Meskipun gagal melakukan terjunan dengan baik pada awalnya namun Pandelela berjaya bangkit untuk mengutip jumlah 359.20 mata keseluruhan di belakang penerjun China, Chen Roulin (422.30) dan Brittany Broben (366.50) dari Australia.

Penerjun negara berusia 19 tahun sekadar mengutip hanya 58.50 mata di terjun pertamanya tetapi berjaya meningkatkan prestasinya selepas itu dan mengutip 64.00, 81.60 dan 76.80 di terjun-terjun seterusnya. Kejayaan anak Sarawak itu berjaya mengubat kekecewaan kontigen negara apabila berjaya menyumbang pingat gangsa meskipun tidak diletakan harapan yang tinggi pada awalnya.

“Selepas kesilapan di terjun pertama, jurulatih saya, Yang Zhuliang, menyuruh saya melupakan kesilapan itu dan berikan tumpuan kepada terjun seterusnya,” kata Pandelela selepas acara itu.

“Pingat gangsa ini adalah untuk skuad terjun Malaysia kerana mereka telah banyak menyokong saya. Saya tidak sangka dapat menang pingat ini.”

Pandelela mengakui penyertaan di Sukan Olimpik memerlukan persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal untuk menghadapai saingan penerjun-penerjun hebat bertaraf dunia.

“Bila sudah berjaya menjejak kaki ke Sukan Olimpik, ia bermakna bahawa kita antara yang terbaik di dunia. Sukan terjun sudah mencipta sejarah atas kejayaan melangkah ke final.”

“Jadi perasaan takut untuk bersaing itu tidak timbul kerana kita sudah tahu tahap kemampuan kita terletak di mana.”

“Saya turun beraksi seperti biasa tanpa memikirkan untuk menang pingat. Saya hanya perlu kuatkan mental untuk mengelak sebarang tekanan yang bakal dihadapi kerana jika beraksi dalam keadaan tertekan ia hanya akan mengundang kesilapan,” kata Pandelela lagi.

Jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang berkata beliau agak bimbang dengan keadaan Pandelela menjelang Sukan Olimpik itu kerana beliau kelihatan agak lemah.

“Semasa latihan kami di China sebelum Sukan Olimpik ini, beliau kelihatan kuat dan bersemangat untuk berikan yang terbaik di Sukan Olimpik. Mungkin beliau benar-benar mahu menang pingat untuk negara.”

“Selepas terjun yang pertama, saya memberitahunya untuk lupakan kesilapannya itu dan berikan tumpuan pada terjun yang seterusnya,” kata Zhuliang.

Di temasya kali ini, Pandelela turut diberi penghormatan untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang bagi kontijen negara dalam acara perasmian Sukan Olimpik London 2012. Sementara itu, Pandelela juga berharap Yang Zhuliang terus diberi kepercayaan untuk menjadi jurulatih skuad terjun negara kerana Zhuliang sudah banyak melakukan yang terbaik untuk meningkat prestasi penerjun negara.

This entry was posted in Sukan Antarabangsa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply