[OLIMPIK] TIADA APA NAK DIBANGGAKAN – KHOO KAY KIM

Pencapaian satu perak satu gangsa diraih kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik London yang menutup tirainya Ahad lalu mungkin satu pencapaian dianggap membanggakan bagi sesetengah pihak, namun ia kurang dipersetujui pengkritik sukan tanah air, Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim. Selain acara terjun menerusi pingat gangsa diraih Pandelela Rinong, Kay Kim berpendapat tiada apa perlu dibanggakan dengan pencapaian kontinjen negara itu.

Walaupun sekadar gangsa, Kay Kim menganggap pencapaian Pandelela itu lebih membanggakan kerana dia mencipta sejarah apabila muncul atlet wanita pertama negara meraih pingat di temasya Olimpik selain memecahkan kebergantungan kepada acara badminton yang selama ini menjadi lubuk pingat kontinjen negara.

“Memang badminton menyumbang perak menerusi (Datuk Lee) Chong Wei tapi bagi saya ia pencapaian yang biasa saja kerana sebelum ini kita pernah dapat perak menerusi badminton.”

“Badminton tetap konsisten menyumbang pingat tetapi sebenarnya pencapaian yang lebih menarik adalah kemampuan Pandelela menyumbang pingat menerusi acara terjun.”

“Selain itu, saya tidak nampak ada yang perlu dibanggakan dengan atlet kita. Secara peribadi, saya berasa kecewa dengan perkembangan kita pada temasya Olimpik,” kata Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim.

Menyambung bicaranya, Kay Kim berpendapat negara sepatutnya mampu mencipta kejayaan lebih besar berbanding sekarang pada Sukan Olimpik kerana sudah menyertai temasya sukan terbesar dunia ini sejak 1956.

“Pendek kata perkembangan kita pada Sukan Olimpik agak perlahan. Sebab itu saya berasa kecewa. Inilah akibatnya apabila sukan tidak lagi diutamakan di peringkat sekolah,” katanya.

Ditanya adakah pingat emas pertama yang gagal diraih di London mampu dicapai empat tahun lagi di Rio de Janeiro, Kay Kim berasa ia belum mampu diraih kontinjen negara.

“Sebab saya tak nampak kemajuan kita dalam bidang sukan. Satu ketika dulu kita hampir mencapai tahap tertinggi dalam beberapa jenis sukan seperti hoki dan angkat berat tapi kini kita terlalu bergantung kepada badminton,” katanya.

Sumber : www.hmetro.com.my

This entry was posted in Sukan Antarabangsa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply