[PERSPEKTIF] SKUAD ARSENAL PENUH DENGAN PELBAGAI KARAKTER – MERTESACKER

Per Mertesacker mengakui Arsenal kini bersedia menghadapi saingan musim baru dengan kehadiran tiga pemain baru yang menyertai The Gunners musim ini. Arsene Wenger berjaya melengkapkan perpindahan bintang antarabangsa Sepanyol, Santi Carzola Selasa lalu dengan yuran perpindahan dianggarkan £12 juta dari kelab La Liga, Malaga. Terdahulu, Arsenal berjaya mendapatkan dua penyerang berpengalaman, Lukas Podolski dan Olivier Giorud dari FC Cologne dan Monpellier.

Mertesacker mengalu-alukan kehadiran pemain-pemain berpengalaman ini kerana ini bakal mewujudkan persaingan sihat kepada skuad Arsenal bagi menghadapi perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Sunderland 18 Ogos ini.

“Saya rasa situasi kami jelas berbeza berbanding musim lalu,” kata Mertesacker kepada Arsenal Player.

“Skuad ini penuh karakter, dengan barisan pemain-pemain yang bagus di setiap posisi. Jadi, saya merasakan kami boleh pergi lebih jauh kerana pemain-pemain yang berada dalam skuad kini bakal menyerlahkan potensi yang lebih baik berbanding musim lalu.”

“Kami (Arsenal) sememangnya memerlukan pembelian pemain yang berpengalaman dan saya merasakan kehadiran mereka akan membantu kami. Giroud merupakan seorang penyerang yang baik dan saya dapat menyaksikan semasa sesi latihan. Dia memiliki daya usaha yang tinggi dan saya berharap dia dapat menterjamahkan dalam perlawanan kelak.”

“Santi Carzola pula baru sahaja menyertai kami dan dia merupakan seorang pemain yang hebat.”

Sementara itu, rakan sepasukan Mertesacker dalam skuad antarabangsa Jerman, Lukas Podolski telah melengkapkan perpindahan bersama Arsenal selepas kejohanan EURO 2012 lalu turut gembira dengan kehidupan baru di London.

“Saya akan melakukan yang terbaik (untuk membantu Podolski menyesuaikan diri). Saya melalui situasi yang sama musim lalu ketika baru menyertai Arsenal dan rakan-rakan sepasukan banyak membantu saya dengan suasana dan bahasa yang baru,” kata pertahanan Arsenal berusia 27 tahun itu.

“Semua di kelab telah melakukan yang terbaik dan ramai yang akan membantu saya. Segalanya bagus di sini dan saya gembira untuk memberikan yang terbaik kepada Arsenal.”

“Sejak dari awal lagi dia (Podolski)  sememangnya yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris kerana dia seorang pemain yang memiliki keyakinan diri yang tinggi di mana berjaya mendapatkan caps antarabangsa ke-100 bersama skuad Jerman. Satu pencapaian yang hebat bagi pemain yang baru menjangkau usia 27 tahun. Dan kami yakin Podolski akan memberi impak yang besar kepada Arsenal musim ini,” kata Mertesacker lagi.

This entry was posted in Perspektif. Bookmark the permalink.

Leave a Reply