[PERSPEKTIF] MAMPUKAH GIROUD MENJADI SEHEBAT THIERRY HENRY?

Pemain silih berganti, datang dan pergi. Daripada pemain-pemain tempatan Inggeris hingga ke pemain-pemain luar berkelana di utara kota London menabur bakti mencurah keringat bersama Arsenal. Nama-nama besar seperti Tony Adams, Lee Dixon, Nigel Winterburn, Dennis Bergkamp, Sol Campbell, Patrick Vieira, Robert Pires, Cesc Fabregas dan ramai lagi menghiasi skuad bimbingan Arsene Wenger. Sementara itu, Thierry Henry pula muncul selaku penjaring terbayak Arsenal sepanjang zaman dengan menjaringkan 228 gol sepanjang 8 musim bersama The Gunners.

Musim lalu, Robin van Persie muncul selaku penjaring gol utama Arsenal dengan menjaringkan 37 gol daripada 48 perlawanan dalam semua kejohanan bersama The Gunners. Penyerang kelahiran Belanda itu juga muncul selaku penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris 2011/12. Kehadiran Olivier Giroud, Lukas Podolski dan Santi Cazorla musim ini bakal meringankan bebanan yang dipikul oleh Robin van Persie selaku pengempur utama Arsenal.

Olivier Giroud merupakan nadi utama kejayaan Montpellier membantu menjulang kejuaraan Ligue 1 France 2011/12 apabila menjadi penjadi utama untuk La Paillade musim lalu.

Reputasi hebat ini menyaksikan nama Giroud disenaraikan oleh Laurent Blanc dalam skuad Perancis dalam kejohanan EURO 2012. Meskipun tampil selaku penjaring terbanyak Ligue 1 2011/12, namun Olivier Giroud masih dibayangi oleh Karim Benzema yang diletakkan selaku pilihan utama penyerang dalam skuad utama Les Bleus.

Pemain kelahiran Perancis ini sememangnya memiliki sentuhan penyudah yang hebat dan berkebolehan menjaringkan dari pelbagai sudut. Penyerang berketinggian 6’4″ (1.92 m) memiliki kehebatan di udara menerusi tandukan di mana faktor fizikal menjadi kelebihan buat dirinya selain mampu menghasilkan gol menerusi rembatan deras kaki kiri dan kanan. Olivier Giroud sememangnya merupakan seorang penyerang tengah (center foward) sejati.

Prestasi kurang memberansangkan oleh penyerang dari Ligue 1 yang menyertai Arsenal seperti Marouane Chamakh dan Gervinho menyebabkan penyokong-penyokong The Gunners tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada Olivier Giroud. Namun, penyerang berusia 25 tahun itu ternyata berbeza dan kehadirannya dilihat bakal memberi impak yang besar kepada jentera serangan Arsenal.

Olivier Giroud sememangnya memiliki bakat besar dan tidak memerlukan banyak peluang dan ruang untuk menjaringkan gol. Kekuatan rembatan dan ketepatan menjadi aset utama Giroud dalam merencanakan jentera serangan. Tidak seperti Chamakh, bekas penyerang Montpellier memiliki pakej yang lengkap selaku seorang penyerang yang digeruni. Analisis prestasi musim lalu antara Robin van Persie dan Olivier Giroud menyaksikan kedua-duannya memiliki kualiti yang hampir sama.

Di sebalik desas-desus bahawa Robin van Persie bakal meninggalkan Arsenal, kehadiran Olivier Giroud tepat pada masanya untuk mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan oleh penyerang Belanda itu. Seperti juga Thierry Henry, Olivier Giroud juga memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan corak permainan di Arsenal.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply